Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot nelayan tempatan, gajikan 22 PATI Thailand

APMM tahan bot nelayan tempatan, gajikan 22 PATI Thailand

by Air Times News Network

GEORGETOWN, 8 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang menggajikan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) di kedudukan 0.9 batu nautika utara Monkey Beach, Teluk Bahang, semalam.

Pengarah APMM, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot dan kesemua PATI ditahan ketika pihaknya sedang melaksanakan rondaan Operasi (Op) Benteng Laut pada jam 5.15 petang, pada Ahad.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan kelas C2 itu dikendalikan 22 kru warga Thailand termasuk tekong berumur lingkungan 26 hingga 54 tahun,

“Kesemua PATI disyaki telah melakukan kesalahan iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Razak berkata, bot dan kesemua PATI termasuk tekong telah ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk siasatan lanjut.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Sek 8(b) Akta Akta Perikanan 1985 iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Sek 56 (1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melakukan kesalahan dengan berada di Malaysia tanpa suatu dokumen yang sah. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply