Home Pertahanan dan Keselamatan Agong berkenan cemar duli rasmi Kem Al-Sultan Abdullah MK AB

Agong berkenan cemar duli rasmi Kem Al-Sultan Abdullah MK AB

by Nurulhuda

KUANTAN, 26 Jul – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli ke Majlis Perasmian dan Penamaan Kem Al- Sultan Abdullah Markas Angkatan Bersama (MK AB) di Jalan Panching, hari ini.

Markas Angkatan Tentera Bersama (MK AB) menerusi hantaran di media sosialnya menjelaskan, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut berangakat mengiringi Baginda pada majlis tersebut.

Sejurus tiba, Seri Paduka Baginda telah menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada 4 pegawai dan 103 anggota diketuai Mejar Mohd Noorazmin Abd Rahim.

Baginda kemudiannya telah dipersembahkan dengan gimik acara pelancaran melibatkan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota khas dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam majlis berkenaan, baginda berkenan untuk menandatangani plat penamaan kompleks Markas Angkatan Bersama sebagai Kem Al-Sultan Abdullah.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai peranan serta fungsi Markas Angkatan Bersama (MK AB) bertempat di Pusat Operasi Bersama (POB) serta berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan tugas Operasi Pasir di Sabah serta bertugas di misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Turut mengiringi, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain; dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Indera Yazid Arshad.
Kem Al-Sultan Abdullah dinamakan sempena nama Yang di-Pertuan Agong di mana pembinaan kem itu dirancang sejak 2007 dan pemilihan lokasi di Sungai Panching.

Dengan keluasan 39.56 hektar, kem ini dilihat bersesuaian kerana kedudukan kem dan pangkalan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berhampiran iyakini akan secara langsung dapat menyokong pengoperasian MK AB.

Projek pembinaan Kem Al-Sultan Abdullah siap pada 25 April 2019 dan diserahkan kepada MK AB pada 11 Jun 2019 di mana majlis pengoperasian kem itu telah dilaksanakan pada Julai 2019.

Kem terbabit menempatkan 312 orang pegawai dan anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan di dalam ATM.

MK AB diwujudkan untuk mengendalikan tugas berdasarkan kepada konsep penugasan bersama (Jointness), yang bersifat 3 khidmat (Tri-Service) di dalam ATM.

Selain itu, markas terbabit juga berperanan untuk menyelaraskan keperluan ATM di dalam operasi dan misi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) manakala konsep Assigned Force yang dipraktikkan meletakkan komponen-komponen tempur setiap perkhidmatan di bawah pemerintahan serta kawalan operasi Panglima Angkatan Bersama (PAB).

MK AB turut berfungsi sebagai sebuah Pemerintahan Peringkat Operasi (Operational Leval Command) yang bertanggungjawab terhadap merancang dan melaksanakan semua Operasi Bersama (Joint Operation), Operasi Berkemungkinan Bersama (Potentially Joint Operation), Operasi Gabungan (Combined Operation), Operasi Bersepadu (Integrated Operation) dan Operasi Pelbagai Negara (Multi National Operation) seperti operasi di bawah Piagam PBB.

MK AB juga terlibat melaksanakan Eksesais Bersama dengan Angkatan Tentera dari negara-negara sahabat yang lain.-airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply