BANGI, 17 Jul – Tindakan sebuah restoran terkenal dengan hidangan cheese nan menggaji tukang masak warga Pakistan tanpa dokumen pengenalan yang sah mengundang padah apabila premis berkenaan diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Jumaat lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan yang dilakukan oleh Unit QRT dari Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Ibu pejabat Imigresen, Putrajaya itu telah menahan 4 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Pakistan.
“Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan awam yang gusar akan status tukang masak warga asing samada mempunyai dokumen yang sah dan sudah mendapat suntikan Typhoid untuk Pengendali makanan,
“Semasa pemeriksaan dilakukan terdapat beberapa pekerja warga asing bekerja di dalam premis tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati seramai 4 orang lelaki warga Pakistan bekerja sebagai pembuat Cheese Naan dan tukang cuci,”jelasnya dalam kenyataan pada Sabtu.
Khairul Dzaimee berkata, kesemua warga asing ini tidak mempunyai dokumen yang sah untuk bekerja di premis tersebut.
“Kempat-empat mereka yang berumur diantara 26 hingga 44 tahun ini ditahan dan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan serta tindakan lanjut,
“Selain itu, sebanyak 2 notis untuk hadir memberi keterangann turut dikeluarkan kepada pekerja warga tempatan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Khairul Dzaimee turut mengingatkan orang ramai terutamanya majikan supaya tidak melindungi dan menggajikan PATI.
“Tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan jika didapati bersalah. Mereka bukan sahaja melanggar undang-undang malahan meletakkan risiko yang tinggi atas pelanggan mereka khususnya restoran dan premis yang menyediakan makanan,
“Jabatan ini amat menghargai keprihatinan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat tentang PATI dan majikan yang melindungi serta menggajikan PATI,
“Orang ramai digesa supaya terus menyalurkan maklumat supaya tindakan penguatkuasaan dan tindakan undang-undang dapat dilaksanakan ke atas PATI dan majikan yang masih degil,” tambahnya. -airtimes.my
