Home Pertahanan dan Keselamatan Tekong darat lari tinggalkan 6 PATI Myanmar dalam kereta

Tekong darat lari tinggalkan 6 PATI Myanmar dalam kereta

by Nurulhuda

RANTAU PANJANG, 16 Jul – Batalion 9 Pasukan Gerakan AM (PGA) telah menahan 6 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang ditinggalkan dalam sebuah kenderaan di jalan kampung Lubok Kawah, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan itu dibuat setelah anggota ronda mengesan sebuah sebuah kereta jenis Nissan X-Trail yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Hasil rondaan di Jeram Perdah mendapati sebuah kereta jenis Nissan X-Trail dipandu dalam keadaan mencurigakan dan selepas menyedari kehadiran pihak polis, mereka memecut menghala Meranti,

“Setibanya di kawasan jalan kampung Lubok Kawah, pihak polis mendapati kereta terbabit berada di tepi jalan dan pemandu kenderaan gagal dikesan,

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu mendapati terdapat 6 lelaki berusia 19 hingga 36 tahun warga Myanmar dan tidak mempunyai sebarang pengenalan diri memasuki Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Muhamad Zaki menjelaskan, kesemua rampasan dan tangkapan ini dibawa ke Balai Polis Bakong untuk tindakan lanjut.

“Semakan terhadap pemilik kenderaan dapati didaftarkan atas nama sebuah syarikat beralamat di Seri Kembangan, Selangor,

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 51(3) Akta Imigresen 1959 /63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 55E dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Terdahulu, beliau menjelaskan, anggota Batalion 7 PGA, Kuantan turut berjaya membuat serbuan ke sebuah rumah kosong di Kampung Banggol Kulim pada jam 8.30 malam.

“Dalam serbuan itu, PGA telah menahan 5 lelaki berusia 15 hingga 27 tahun yang berada di dalam rumah tersebut,

“Hasil pemeriksaan didapati kesemua lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang pengenalan diri dan mereka dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply