Home Pertahanan dan Keselamatan KPDNHEP serbu stor haram, rampas 31,215 liter diesel bersubsidi

KPDNHEP serbu stor haram, rampas 31,215 liter diesel bersubsidi

by Air Times News Network

SEREMBAN, 15 Jul – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan berjaya membongkarkan stor haram yang menyimpan dan menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Kampung Bemban Hilir, Seremban, pada Khamis.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin berkata, pihaknya telah membuat serbuan pada jam 5.30 petang dan berjaya merampas sebanyak 31,215 liter diesel serta pelbagai aset yang digunakan dalam aktiviti haram tersebut.

Aset yang digunakan dalam aktiviti haram tersebut turut dirampas KPDNHEP

Abd Muis berkata, 4 suspek yang sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak tersebut cuba melarikan diri apabila diserbu oleh anggota operasi, namun berjaya ditangkap pasukan serbuan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 11 unit tangki petak dan sebuah skid tank yang berisi dengan minyak diesel dipercayai telah dipindahkan daripada lori-lori dengan menggunakan melalui hos,

“Semakan terhadap suspek mendapati premis yang diserbu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, nilai keseluruhan rampasan termasuk diesel dan aset yang digunakan dalam aktiviti tersebut berjumlah RM269,912.25.

Menurutnya lagi, kesemua suspek yang ditahan merupakan warganegara tempatan berusia 29 hingga 42 tahun dan direman untuk membantu siasatan lanjut. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply