Home Pertahanan dan Keselamatan Tragedi Aidiladha: Tangisan anak iringi pemergian anggota tentera terkorban

Tragedi Aidiladha: Tangisan anak iringi pemergian anggota tentera terkorban

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 12 Jul – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu adalah situasi yang dirasai oleh waris terdekat dan rakan kepada Allahyarham Sarjan Mohd Kamal Ramli.

Ketika keranda Allahyarham dibawa keluar dari rumah, kedengaran tangisan si anak kecil yang masih terlalu muda untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Ya, yang menangis itu adalah anak sulung arwah,” kata Norzita Jaafar ketika dihubungi oleh Air Times.

Menurutnya, anak sulung Allahyarham berusia 5 tahun manakala adiknya berusia 2 tahun.

Norzita yang juga biras kepada kakak Mohd Kamal menjelaskan Allahyarham seorang yang baik.

“Kami pun tidak dapat menahan sedih melihat (reaksi anak Mohd Kamal),” katanya.

Sarjan Mohd Kamal, 41 tahun merupakan salah seorang anggota Tentera Darat Malaysia dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) yang terkorban ketika melaksanakan operasi di kawasan perbatasan negara di Perak.

Beliau dan rakan sepasukannya, Koperal Muhammad Zaki Johari maut ditimpa pokok ketika ribut melanda pangkalan sementara pada awal pagi 10 Julai.

Jenazah Allahyarham Sarjan Mohd Kamal dikebumikan di Sungai Petani manakala Allahyarham Koperal Muhammad Zaki di Chuping, Perlis.

Ketika berita ini disiarkan oleh Air Times semalam, ucapan takziah dan doa tidak putus-putus dikirimkan oleh rakyat Malaysia kepada keluarga mangsa. Peristiwa ini sudah tentu menyayat hati kerana ianya berlaku pada dinihari Hari Raya Aidiladha.

Diharapkan peristiwa ini menjadi peringatan kepada segenap lapisan masyarakat bahawa anggota tentera sedang memikul amanah dan tanggungjawab mereka untuk mempertahankan negara walaupun di hari perayaan. Pengorbanan ini turut dipikul secara tidak langsung oleh ahli keluarga mereka. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply