Home Pertahanan dan Keselamatan Pasukan Pertahanan Udara TLDM rasmi bubar selepas 6 tahun beroperasi

Pasukan Pertahanan Udara TLDM rasmi bubar selepas 6 tahun beroperasi

by M.Daim

KOTA KINABALU, 12 Jul – Pasukan Pertahanan Udara (PPU) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasminya telah dibubarkan selepas 6 tahun beroperasi.

Pembubaran dilaksanakan di Markas Pemerintahan Armada Timur, semalam.

“Pasukan ini telah dibubarkan daripada perkhidmatan TLDM setelah 6 tahun pengoperasian seiring dengan kesesuaian keperluan operasi semasa,” kata Markas Pemerintahan Armada Timur di akaun media sosial rasminya.

Jelasnya, PPU TLDM telah melaksanakan penyerahan Misil Starstreak kepada Tentera Darat Malaysia pada April lalu.

Simbolik pembubaran pasukan ini telah disempurnakan oleh  Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali dengan menurunkan insignia pemerintahan dari Pegawai Memerintah PPU yang terakhir, Leftenan Komander Johari Mat Yusof TLDM.

Starstreak merupakan sistem pertahanan udara aras rendah yang dibeli oleh Malaysia pada tahun 2015 bagi menggantikan Starburst. Perolehan ini merangkumi versi pelancar berganda (Light Multiple Launcher, LML) dan pelancar dari platform kenderaan.

Sistem pertahanan udara ini telah dihasilkan oleh Thales Air Defence. Starstreak amat dikenali sebagai misil pertahanan udara aras rendah berkelajuan tinggi kerana ia mampu mencapai kelajuan Mach 4 selepas dilancarkan.

Starstreak berupaya untuk menggempur sasaran pada lingkungan jarak 300 meter ke 7 kilometer. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply