Home Pertahanan dan Keselamatan Tambah baik Pencen Terbitan veteran ATM diluluskan – Hishammuddin

Tambah baik Pencen Terbitan veteran ATM diluluskan – Hishammuddin

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan penambahbaikan Pencen Terbitan kepada waris Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diluluskan.

“Sukacita saya ingin maklumkan, Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera hari ini telah memperakui dan luluskan penambahbaikan Pencen Terbitan seperti saya umum bulan lepas,” kata Hishammuddin dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya.

Menurut beliau, ini merupakan salah satu kemahuan veteran ATM.

“Dengan ini, pembayaran Pencen Terbitan Kepada Balu/Duda Yang Dikahwini Veteran ATM Selepas Tamat Perkhidmatan kini dilanjutkan sehingga umur Veteran ATM terbabit mencapai 80 tahun,

“Sebelum ini, balu/duda yang dikahwini oleh Veteran ATM selepas tamat perkhidmatan/bersara hanya layak menerima Pencen Terbitan selama tempoh 20 tahun sahaja selepas Veteran tersebut meninggal dunia,

“Tempoh itu pula dikira mulai tarikh tamat perkhidmatan/persaraannya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Hishammuddin menyatakan Jawatankuasa Panel Penasihat Pengiktirafan Veteran ATM telah siap sedia untuk dimanfaatkan.

“Keinginan kedua Veteran ATM – Jawatankuasa Panel Penasihat Pengiktirafan Veteran ATM bagi mempertimbangkan permohonan bekas tentera (diberhentikan kerana salah laku) yang tidak diiktiraf sebagai Veteran untuk didaftarkan sebagai Veteran ATM juga telah siap sedia untuk dimanfaatkan,

“Sebaik permohonan bekas tentera ini untuk didaftarkan sebagai Veteran ATM diluluskan, mereka layak menikmati pelbagai faedah serta manfaat seperti Veteran ATM yang lain,” ujar beliau. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply