Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada petunjuk baru, Ops CARILAMAT kru kapal tangki hilang dihentikan

Tiada petunjuk baru, Ops CARILAMAT kru kapal tangki hilang dihentikan

by Nurulhuda

BINTULU, 5 Jul – Operasi Mencari dan Menyelamat (Ops CARILAMAT) pencarian seorang krew kapal tangki yang hilang ditamatkan pada jam 5 petang semalam selepas tidak menemui petunjuk baharu berkaitan mangsa ditemui.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, keputusan untuk menamatkan Ops CARILAMAT itu dibuat setelah tiada sebarang penemuan petunjuk sepanjang 3 hari operasi dijalankan.

Beliau menjelaskan, jumlah keluasan pencarian sepanjang 3 hari itu adalah seluas 695.85 batu nautika persegi meliputi perairan Samalaju, Beting Nyalau dan sekitar pelantar minyak.

“Operas turut dibantu melalui udara oleh Unit Udara Bomba tidak menemui sebarang petunjuk seperti tompokan minyak dan barang terapung milik kapal Banga Dua di sektor lokasi pencarian,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pada Jumaat lalu, mangsa Himanshu Kumar, lelaki warga India dilaporkan hilang pada kedudukan 40.2 batu nautika barat laut Bintulu. Mangsa dilaporkan berpakaian baju hitam putih, seluar panjang berwarna gelap dan memakai jaket keselamatan oleh 3 mangsa lain yang terselamat.

Mengulas lanjut, Mohd Khairol berkata, pelbagai aset kerajaan digunakan sepanjang Ops CARILAMAT iaitu Helikopter MI171 (Unit Udara Bomba), KM SETIA (APMM), bot PSC 56 dan bot PGR 32 (Pasukan Polis Marin) dan bot cari pantai (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia) serta turut dibantu oleh aset dari pihak Pelabuhan Samalaju, Petronas dan Shell Bintulu.

Manakala pencarian di kawasan pesisir pantai katanya, turut dilakukan anggota yang terlibat di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Pelabuhan Samalaju.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Unit Udara Bomba (UUB) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) serta semua yang terlibat,

“APMM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Pelabuhan Samalaju kerana memberikan kebenaran untuk menubuhkan PHC di dalam kawasan pelabuhan dan juga memberi bantuan aset bot keselamatan bagi membuat pencarian di kawasan had pelabuhan, Pelabuhan Samalaju,” jelasnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply