Home Semasa JPJ sita kenderaan, saman 6 pemegang kad UNHCR

JPJ sita kenderaan, saman 6 pemegang kad UNHCR

by Air Times News Network

PADANG BESAR, 29 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis menyita 7 buah kenderaan yang dipandu oleh warganegara asing.

Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, pihaknya mengeluarkan 6 saman melibatkan warga Myanmar yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan seorang warga Pakistan.

“Operasi Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa JPJ Perlis telah menyita 3 buah motosikal, 3 buah motokar dan sebuah lori sejak 1 April lalu,

“Kesemua mereka dikenakan tindakan saman bagi kesalahan memandu tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kenderaan mereka disita di bawah Seksyen 64 akta yang sama,” katanya menerusi hantaran di media sosial JPJ Perlis.

Beliau berkata, kesalahan memandu tanpa lesen boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2 ribu serta boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun jika disabitkan dengan kesalahan.

“JPJ Perlis turut mengeluarkan notis saman kepada pemilik kenderaan yang membenarkan kenderaan mereka dipandu oleh warganegara asing tanpa lesen memandu,” ujarnya.

Pada masa sama, Fatimah mengingatkatkan pemilik kenderaan terutamanya warganegara Malaysia yang menyediakan perkhidmatan menyewa motosikal dan motokar kepada warga asing agar tidak melakukan perkhidmatan tersebut.

“Pemilik kenderaan akan dikenakan tindakan undang-undang yang lebih tegas di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan boleh didenda sehingga RM500 ribu jika disabitkan dengan kesalahan menjalankan perkhidmatan sewa pandu tanpa permit,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply