Home Pertahanan dan Keselamatan PVATM terus perjuangkan 5 Teras Bela Kebajikan Veteran

PVATM terus perjuangkan 5 Teras Bela Kebajikan Veteran

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 3 Jun – Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) menegaskan pihaknya akan tetap meneruskan usaha untuk memperjuangkan nasib veteran ATM di negara ini.

“Kita akan teruskan usaha melalui pendekatan yang terbaik demi kebajikan ahli-ahli persatuan,

“Persatuan veteran (PVATM) telah lama bertapak, mencipta sejarah dan telah diperakui mempunyai kelasnya yang tersendiri,

“Ini bermakna apa yang kita usaha ini telah diterima dan usaha ini akan tetap diteruskan,” katanya semasa sidang media di Wisma Pahlawan pada Khamis.

Beliau menambah, PVATM telah menetapkan dan fokus 5 teras perjuangan utama iaitu Pelarasan Pencen Veteran ATM, Elaun Sara Hidup Veteran Tidak Berpencen (VTB), Lembaga Pengampunan Bekas Tentera, Menambah Baik Pencen Terbitan Kepada Balu, dan Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin hussein menyatakan isu tribunal pengampunan dan pencen terbitan akan diselesaikan dalam jangka masa terdekat.

PVATM menegaskan pihaknya akan meneruskan perjuangan isu veteran ATM dalam menghargai perjuangan dan pengorbanan veteran ATM menerusi 5 Teras.

Dalam ucaptama Sambutan Hari Ulang ke-100 PVATM pada 21 Mei lalu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menyatakan tribunal pengampunan ATM dan penambahbaikan pencen balu ATM akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Saya beri jaminan, mana-mana yang kita dapat selesai kita akan umumkan nanti. Seperti 2 perkara yang saya sebut tadi itu sudah sampai di tahap yang saya boleh umumkan dalam masa yang terdekat,” kata Hishammuddin semasa sidang media di Dataran Pahlawan.

Lembaga Pengampunan dan Pencen Terbitan

Menyentuh Lembaga Pengampunan kepada Bekas Tentera, Sharuddin menyatakan ia akan melibatkan kes-kes yang tidak melibatkan hukuman mahkamah tentera atau mahkamah awam.

“Pada ketika ini, dianggarkan seramai 10,281 orang bekas tentera yang diberhentikan dari ATM atas kes tatatertib,

“Jika Lembaga Pengampunan diwujudkan, kemungkinan sebahagian daripada jumlah tersebut akan mendapat pengampunan,” katanya.

Beliau menjelaskan pemberhentian anggota ATM atas kes tatatertib telah menyebabkan mereka tidak dapat dikategorikan sebagai Veteran ATM dan tidak layak mendapat kemudahan yang dinikmati oleh veteran yang lain.

PVATM akan terus memperjuangkan nasib golongan veteran di dalam negara ini melalui 5 teras utama. – Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara)

Bagi pencen terbitan kepada balu, ia adalah khusus kepada isteri yang dikahwini oleh veteran selepas tamat perkhidmatan.

“Para balu ini hanya layak dibayar pencen terbitan selama 20 tahun sahaja dari tarikh suami mula bersara,

“Ketika ini, seramai 290 balu yang dikahwini selepas perkhidmatan layak menerima Pencen Terbitan selama 20 tahun,

“Kami memohon agar tempoh kelayakan Pencen Terbitan dipanjangkan daripada 20 tahun ke 40 tahun,” jelasnya.

Beliau menambah, seramai 55 orang balu telah ditamatkan dari menerima Pencen terbitan setelah genap 20 tahun.

Isu berjaya diselesaikan melalui rundingan 

Sharuddin menegaskan kedua-dua isu tersebut merupakan antara banyak perkara yang dicapai oleh PVATM melalui rundingan dan telah membawakan hasil.

“Saya yakin pendekatan kita lebih jelas iaitu menggunakan meja rundingan sebagai jalan yang terbaik,” katanya.

Beliau menambah, perkara tersebut dilihat semenjak hampir satu dekad lalu melalui pelaksanaan Blueprint Veteran Kebangsaan pada tahun 2016.

“Sepanjang tempoh tersebut, banyak perkara telah dicapai. Pegangan kita, kejayaan akan dicapai melalui rundingan,

“Rundingan dengan pihak berwajib tetap dilaksanakan,” ujarnya.

PVATM akan terus memperjuangkan nasib veteran secara berhemah melalui jalan rundingan.

Beliau menambah, sejarah negara telah membuktikan kemerdekaan tanah air berjaya dibentuk melalui meja rundingan.

Pada masa yang sama, Sharuddin menyatakan pihaknya dan barisan kepimpinan PVATM terus fokus  dengan perjuangan secara berhemah.

“Kita dapat kemerdekaan melalui rundingan walhal ianya satu perkara yang teramat besar untuk dicapai tetapi akhirnya berjaya dituntut,

“Kita akan terus berjuang secara berhemah, selari dengan moto PVATM semenjak 1922 iaitu Sentiasa Berjuang,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply