Home Pertahanan dan Keselamatan Perbarisan: Veteran berdiri tengah panas, situasi biasa – PVATM

Perbarisan: Veteran berdiri tengah panas, situasi biasa – PVATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Persatuan Veteran ATM (PVATM) menjelaskan, gambar dan video yang memaparkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berdiri di tengah panas merupakan situasi biasa bagi perbarisan statik.

Presiden PVATM, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) menjelaskan, peluang menjadi sebahagian dari peserta perbarisan statik tersebut adalah satu kebanggaan dan penghormatan besar bagi ahli-ahlinya.

Justeru, PVATM menolak dakwaan layanan dua darjat apabila orang kenamaan mendapat layanan berbeza.

“Mengambil maklum beberapa gambar dan video yang viral semalam seolah-olah veteran ATM mendapat layanan tidak sepatutnya, selaku penganjur PVATM ingin menjelaskan ianya bukan majlis perjumpaan yang dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama veteran ATM,

“Majlis tersebut merupakan acara perbarisan statik yang telah dianjurkan sendiri oleh PVATM sempena meraikan usia 100 Tahun PVATM. Bagi memaknai lagi acara tersebut, PVATM telah menjemput tetamu-tetamu kehormat termasuk Menteri Kanan Pertahanan serta wakil Persatuan Veteran dari 10 Negara ASEAN,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Sharuddin berkata, gambar yang tular menunjukkan peserta makan di bawah pokok pula merupakan peserta perbarisan dari PVATM Kedah yang sedang berehat di sekitar Masjid Tuanku Mizan di mana mereka menunggu waktu masuk solat Zohor sebelum majlis tahlil dan doa selamat diadakan.

“Sebenarnya sajian makan tengahhari nasi Arab bagi peserta dan penonton disediakan di Dewan Masjid Tuanku Mizan Putrajaya,

“Jamuan makanan bagi VVIP pula diadakan dalam Dewan Bankuet demi menghormati kehadiran tetamu jemputan dari Veteran Negara ASEAN seramai 27 orang

“Menteri Kanan Pertahanan sendiri menyuarakan hasrat kepada Presiden PVATM untuk makan bersama dengan peserta perbarisan pada awalnya tetapi keadaan tidak mengizinkan berdasarkan kepada aturcara sambutan yang padat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sharuddin menegaskan, pemilihan veteran tentera berkenaan dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria tertentu termasuk tahap kesihatan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, PVATM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang mengeluarkan dan menularkan komen serta kritikan negatif kepada pihaknya sebagai langkah membendung serta mencegah supaya tindak tanduk sedemikian tidak berulang lagi.

Pada Rabu, tular di media sosial memaparkan video beberapa veteran ATM berdiri di tengah panas sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Veteran ATM ke-100 yang diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada Sabtu.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply