Home Pertahanan dan Keselamatan 4 lelaki ditahan terlibat jual hidupan liar

4 lelaki ditahan terlibat jual hidupan liar

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Seramai 4 lelaki tempatan termasuk seorang warga Indonesia diberkas selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan hidupan liar di sekitar ibu negara dan Selangor, pada Jumaat.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, serbuan yang dilakukan oleh anggotanya pada pukul 4.50 petang itu juga telah berjaya merampas 71 ekor burung yang dilindungi dan sebuah motosikal yang dianggarkan bernilai RM105,700.

Beliau berkata, serbuan telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari cawangan Risik PGA Cheras dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Wilayah Persekutuan.

“Serbuan terbabit telah berjaya menahan 3 lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia dalam lingkungan 34 hingga 39 tahun di 5 lokasi berasingan sekitar ibu negara dan Selangor,

“Rampasan terdiri daripada 71 ekor burung yang dilindungi iaitu 65 ekor burung Murai Batu dan enam ekor burung hijau serta sebuah motosikal yang dianggarkan bernilai RM105,700,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zulkifli menjelaskan, hasil siasatan mendapati, sindiket yang aktif di sekitar Lembah Klang terbabit menjadikan beberapa buah rumah di kawasan perumahan setinggan dan pangsapuri sebagai tempat penyimpanan.

“Serbuan ini dipercayai berjaya memutuskan rangkaian pengedaran dan penjualan hidupan liar yang didalangi satu sindiket penyeludupan hidupan liar,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Dalam masa yang sama, Zulkifli turut menyeru masyarakat agar dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang berkaitan akta pemuliharaan hidupan liar ini.-airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply