BINTULU, 18 Apr – Agensi Penguatakuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 3 bot nelayan asing daripada Vietnam sedang berapung pada jarak lebih kurang 193 batu nautika dari utara Pelabuhan Bintulu, pada Khamis lalu.
Timbalan Pengarah Zon Operasi APMM Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, bot nelayan asing tersebut telah dikesan pada jam 10.00 malam dalam keadaan berapung dan tidak bertindak agresif ketika dihampiri.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 32 orang kru termasuk 3 tekong bagi ketiga-tiga bot tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,
“Kesemua bot yang ditahan tidak mempunyai lesen untuk beroperasi dan dalam masa yang sama bot tersebut juga menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.
Tambahnya, kesemua kru yang ditahan termasuk tekong, berumur dalam lingkungan 24 hingga 55 tahun, lelaki dan merupakan warga Vietnam.
“1.3 tan ikan campur serta 2,000 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM1.5 juta termasuk 3 buah bot nelayan asing turut dirampas,
“3 bot tersebut telah diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Zon APMM Bintulu untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Menurut beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM6 juta bagi empunya atau nakhoda dan RM600 ribu bagi setiap anggota kru jika disabitkan bersalah. – airtimes.my