Home PolitikBarisan Nasional Tangguh RUU Anti Lompat Parti, ada gunting dalam lipatan? – Zahid Hamidi

Tangguh RUU Anti Lompat Parti, ada gunting dalam lipatan? – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Apr – Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi menyifatkan keputusan kerajaan untuk tidak bersetuju membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat seperti terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan itu.

Beliau berkata, penangguhan RUU itu menunjukkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk menggubalnya.

“Dengan kata lain, perundangan ‘antilompat’ akan mengambil masa yang panjang, berdepan risiko ditangguh untuk sekian kali, kelewatan ini seolah-olah tiada keseriusan dan ketegasan, malah kurang keazaman politik untuk digubal, bahas dan diluluskan,

“Adakah terdapat gunting dalam lipatan di sebalik kelewatan ini?

“Sudah tentu ini amat mengecewakan rakyat Malaysia yang sudah lama menanti kewujudan undang-undang dilaksanakan segera kerana mandat rakyat memilih pemimpin ketika pilihan raya hilang apabila lompat parti,” katanya menerusi hantaran di media sosial malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, UMNO ialah parti yang paling terkesan dan menjadi mangsa lompat parti apabila terdapat Ahli Parlimennya yang melompat parti selepas Barisan Nasional (BN) tewas.

Malah, katanya, ada juga dalam kalangan BN ketika itu bernada musuh politik UMNO dengan mengharap dapat bekerjasama dengan sekutu mereka yang melompat parti.

“Saya sudah menyatakan bahawa persefahaman kerajaan sedia ada di antara Perdana Menteri, dengan PH (Pakatan Harapan) perlu dinilai semula kerana dinilai kurang tegas dalam usaha untuk mempercepatkan, membentang dan meluluskan undang-undang ini,

“Sudah pasti ini juga satu tamparan hebat terhadap PH yang membuat persefahaman dengan kerajaan yang sebenarnya bimbang tidak mampu dan tidak bersedia berdepan PRU (Pilihan Raya Umum) jika Parlimen dibubarkan,” jelasnya.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masa untuk UMNO dalam kerajaan lebih tegas menangani isu berkenaan sebelum menambahkan lagi kemarahan pihak yang mahu undang-undang lompat parti disegerakan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan cadangan RUU Anti Lompat Parti.

Beliau berkata, RUU itu tidak akan dibentangkan dalam sidang khas Isnin ini, sebaliknya ia dihantar balik untuk kajian lanjut ke atas definisi “lompat parti”.

Keputusan itu bermakna RUU Anti Lompat Parti akan ditangguhkan buat kali kedua. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply