Home Pertahanan dan Keselamatan 3 tekong darat ditahan bersama 13 PATI di Morib

3 tekong darat ditahan bersama 13 PATI di Morib

by Nurulhuda

MORIB, 31 Mac – Seorang tekong warga tempatan antara yang ditahan bersama pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia di Jalan Banting menuju ke Sepang, pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Superintendan Rizal Mohamed berkata, suspek yang berumur 58 tahun itu ditahan bersama 2 lagi tekong darat warga asing dalam operasi jam 6 pagi.

“Anggota dari Batalion 4 PGA Semenyih bersama pasukan RELA yang membuat rondaan dan pemantauan di Morib, telah menahan seorang lelaki tempatan serta 2 lelaki warga asing bersama 2 kenderaan,

“Hasil siasatan mendapati 3 lelaki terbabit mengaku bertindak sebagai tekong darat (transporter) dengan membawa PATI yang baru tiba,

“Hasil pemeriksaan lanjut, anggota berjaya menahan 6 lelaki dan 7 wanita warga asing berumur antara 25 hingga 53 tahun yang bersembunyi di kawasan semak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Rizal berkata, kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan masuk ke negara ini melalui jalan tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot.

“Kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Banting untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963,

“Turut dirampas, 2 buah kenderaan dan 3 buah telefon bimbit serta anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM53,500.00,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Rizal menyeru masyarakat setempat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply