Home Pertahanan dan Keselamatan Ekspo Usahawan Veteran TLDM buka peluang kerjaya kedua kepada veteran ATM

Ekspo Usahawan Veteran TLDM buka peluang kerjaya kedua kepada veteran ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dan Persatuan Veteran TLDM (PVTLDM) Cawangan Kuala Lumpur telah mengadakan Ekspo Usahawan Veteran (EUV) TLDM 2022 bagi memberi peluang kerjaya kedua kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui aktiviti perniagaan.

Markas ATM berkata, ekspo yang julung kali diadakan ini sejajar dengan hasrat memperkasakan ekonomi usahawan veteran ATM dan mengukuhkan jaringan (networking) yang boleh memanfaatkan perniagaaan mereka disamping mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan kepada para veteran.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM di Malakat Mall, Cyberjaya pada Sabtu.

Beliau berkata, menceburi bidang keusahawanan melalui Tekun Nasional dan TERAJU, para veteran ATM boleh mendapatkan khidmat nasihat serta berebut peluang yang telah disediakan oleh agensi-agensi tersebut.

“ATM amat berterima kasih kepada Tekun Nasional dan TERAJU atas penglibatan kedua-dua agensi berkenaan dalam ekspo ini yang dapat dimanfaatkan oleh para usahawan veteran,

“Melalui ekspo ini juga, ia membuka peluang pekerjaan kepada para veteran ATM. Berdasarkan rekod, PERKESO menawarkan lebih 400,000 peluang pekerjaan di seluruh negara pada tahun lepas. Insya-allah bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan rujuklah kepada booth PERKESO yang terdapat di ekspo ini,” jelas Affendi.

Bagi yang cenderung untuk menceburi sektor Ekonomi Gig pula, Affendi menjelaskan, ekspo ini turut menampilkan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan CODE 7 TECH SDN BHD.

“Di MDEC, lebih 100 syarikat pembekal perkhidmatan Gig telah berdaftar. Manakala CODE 7 pula menawarkan 10,000 peluang pekerjaan Gig kepada Veteran ATM untuk terlibat dalam sektor perkhidmatan keselamatan,

“Semua platform yang disediakan ini diharapkan akan membawa satu perubahan minda yang lebih positif dan semangat yang lebih bermakna untuk membolehkan warga veteran ATM terus ‘Serving the Nation’, serta bersama-sama membina negara yang tercinta ini,

“Terdapat pelbagai organisasi yang turut serta menjayakan ekspo ini. Selaib PERKESO (MyFutureJob) dan CODE7, Lotus’s juga menawarkan peluang pekerjaan di 60 cawangan di seluruh negara terutama dalam merebut peluang menambahbaik produk dan pemasaran melalui perkongsian tips serta panduan perniagaan bersama personaliti usahawan,

“Penyertaan usahawan veteran ini juga diharapkan dapat membantu produk veteran dipasarkan ke dalam ekosistem Malakat Grocer,” ujarnya.

Jelas ATM, antara pengisian lain ekspo ini ialah pameran kerjaya bagi memberi peluang kepada veteran ATM dan masyarakat awam yang sedang mencari peluang pekerjaan.

“Orang ramai juga berpeluang mengetahui lebih lanjut cara menyertai pasukan beruniform TLDM, Pasukan Simpanan dan Sukarela TLDM (PSSTLDM) melalui pameran kerjaya yang dilaksanakan serta demonstrasi unit serta kepakaran tertentu TLDM’,” jelas MarkasATM dalam kenyataan.

Sementara itu, JHEV ATM berharap agar ekspo usahawan seumpama ini perlu diperluaskan oleh Persatuan-Persatuan Veteran ATM yang lain dalam inisiatif melahirkan lebih ramai usahawan dari kalangan Veteran ATM.

“Adalah diharapkan agar masyarakat umum dan agensi-agensi korporat terutamanya, menyokong usahawan veteran tempatan kerana kebanyakan produk mereka mempunyai potensi untuk berkembang lebih luas di pasaran tempatan dan luar negara,

“Inilah masanya untuk menzahirkan rasa terima kasih atas pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Veteran ATM dalam menentukan keamanan dan kesejahteraan negara,” tambahnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply