SELANGOR, 25 Mac – Tindakan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba menceroboh masuk negara melalui jalan yang tidak sah gagal, apabila diberkas oleh anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dan RELA di kebun kelapa sawit Parit Baru, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Polis Rizal Mohamed berkata, kesemua 38 PATI yang ditahan itu terdiri daripada 18 lelaki dan 20 wanita berumur dalam lingkungan 19 hingga 57 tahun.
Menurutnya, kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot.
“Tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Sungai Besar, Sabak Bernam untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,
“Kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan COVID-19 bagi mencegah penularan virus di kalangan pesalah dan juga petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam masa yang sama, Rizal Mohamed turut menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.-airtimes.my