KUALA LUMPUR, 24 Mac – Siri Pameran DSA 2002 dan NATSEC ASIA 2022 yang akan berlangsung selama 4 hari mulai 28 Mac ini menyaksikan negara Turki sebagai negara peserta pempamer terbesar.
Pengarah Eksekutif DSA, Nadzeem Abd Rahman berkata, penyertaan Turki adalah lebih besar berbanding penglibatan negara itu pada siri lalu.
“Negara Turki merupakan kontinjen terbesar pada kali ini, malah lebih 40% lebih besar dari penyertaan edisi yang lepas pada 2018,” katanya kepada Air Times.
Menurut beliau, kontinjen pempamer dari Turki adalah diterajui oleh Presidency of Turkish Defence Industries (SSB).
“Ia melibatkan FNSS, Turkish Aerospace Industries, Dearsan, Havelsan, Otokar, Tusas Engine Industries, MKE, Roketsan, Makina, Aselsan, Canik dan beberapa syarikat lagi,” ujar beliau.
Sementara itu, Nadzeem menyatakan siri pameran kali ini tidak akan dihadiri oleh Belarus, Rusia dan Ukraine berikutan peperangan di rantau timur Eropah
“Russia dan Belarus pada awalnya telah mengesahkan penyertaan dalam pameran DSA 2022 dan NATSEC ASIA 2022,
“Walaubagaimanapun, kedua dua negara ini telah menarik diri dengan alasan bahawa keadaan semasa tidak memungkinkan penyertaan mereka,
“Ukraine turut menarik diri kerana negara mereka telah mengisytiharkan darurat semenjak 24 Februari 2022 lalu,
“Ini sekaligus menyebabkan mereka (Ukraine) tidak dapat memenuhi obligasi untuk menyertai pameran pada kali ini,” jelasnya. – airtimes.my