Home PolitikBarisan Nasional “Ahli Parlimen DAP peluk Kit Siang tolong jangan datang ke Dewan Rakyat” – Najib Razak

“Ahli Parlimen DAP peluk Kit Siang tolong jangan datang ke Dewan Rakyat” – Najib Razak

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 22 Mac – “Ahli-Ahli Parlimen DAP yang berpeluk dengan Lim Kit Siang semalam harus kuarantin kendiri dan jangan datang ke Parlimen,” ujar Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, Ahli Parlimen daripada DAP yang telah memeluk Kit Siang pada kongres parti itu pada Ahad lalu harus melakukan kuarantin kendiri dan tidak perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat bagi memastikan tidak berlaku jangkitan di Parlimen akibat daripada kesilapan mereka.

Beliau berkata demikian susulan veteran parti DAP itu disahkan positif COVID-19 pada Isnin.

Dalam hantaran di Facebooknya semalam, Najib turut mendoakan supaya agar Kit Siang segera sembuh.

Najib berkata, beliau menyedari bahawa ramai orang telah memeluk veteran DAP itu pada kongres tahunan parti itu pada Ahad.

Semasa kongres berkenaan berlangsung pada Ahad lalu, Kit Siang mengumumkan bersara dari dunia politik dan tidak akan bertanding untuk sebarang jawatan dalam kongres DAP kali ini, serta di mana-mana kerusi Parlimen ataupun DUN pada masa akan datang.

Kit Siang disahkan positif sehari kemudian (semalam) dan kini sedang menjalani kuarantin.

“Saya doakan beliau cepat sembuh dan diberikan kesihatan yang baik,

“Tapi saya perhatikan Kit Siang banyak berpeluk dengan geng-geng DAP semalam,” jelas Najib.

Kemudian, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dimaklumkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan di Parlimen, semalam.

Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mempersoalkan sama ada ahli DAP yang berkenaan patut dikenakan kompaun kerana berpelukan.

“Kenapa pula artis AJL (Anugerah Juara Lagu) boleh disaman berpeluk tapi Kementerian Kesihatan malaysia (KKM) tak saman DAP?

“Saya tak berniat jahat tapi geng inilah yang paling seronok tuduh saya langgar prosedur operasi standard (SOP) sehingga Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) saman saya banyak kali,” tegas Najib.

Minggu lalu, Khairy berkata 5 notis kompaun telah dikeluarkan kepada Najib kerana pelanggaran SOP semasa kempen pilihan raya negeri Johor.

Bagaimanapun, Khairy menjelaskan, hanya satu yang telah disampaikan kerana pegawainya enggan menerima 4 lagi notis kompaun tersebut.

Pada Mei tahun lalu, Najib didenda RM3,000 dalam 2 notis kompaun kerana melanggar SOP di sebuah kedai nasi ayam di Kuala Lumpur.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply