Home Pertahanan dan Keselamatan APMM lupus 2 bot nelayan Vietnam secara hancur musnah

APMM lupus 2 bot nelayan Vietnam secara hancur musnah

by Air Times News Network

KUALA TERENGGANU, 22 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melupuskan 2 bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak secara musnah di Marang.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, 2 bot tersebut telah ditahan dan dilucut hak oleh mahkamah tahun lalu atas kesalahan menceroboh serta menangkap ikan di perairan negara.

“Bot-bot ini telah ditahan melalui Operasi Naga Barat dan Kuda Laut yang dilaksanakan oleh Kapal Maritim (KM) KM GEMIA serta KM TEGAS melibatkan penahanan 13 kru termasuk tekong warga Vietnam,

“Pelupusan bot-bot ini secara hancur musnah merupakan tindakan tegas APMM dalam memerangi pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam,” katanya pada Isnin.

Jelasnya, kesemua bot telah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) dan 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan perikanan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Ini merupakan pelupusan kali kedua dalam tahun ini oleh APMM Terengganu,

“Denda mahkamah bagi 2 bot ini secara keseluruhan berjumlah RM1.5 juta,” jelasnya.

Ujarnya, sebanyak 30 buah bot masih berada di Pusat Tahanan Vesel (PTV) negeri Terengganu, PTV Zon Maritim Kemaman dan PTV Bukit Datu.

“Sehingga kini, sebanyak 137 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun dan hancur musnah di sepanjang perairan Terengganu dengan anggaran nilai RM202.5 juta,” ujarnya.

Tambah Muhammad Suffi, pihaknya akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu.

“APMM meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan yang melanggar undang-undang atau kejadian kecemasan di perairan negara kepada pihak berkuasa,” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply