Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 3 kru Indonesia ceroboh perairan negara

APMM tahan 3 kru Indonesia ceroboh perairan negara

by Air Times News Network

LUMUT, 21 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan asing yang dikendalikan 3 kru warga Indonesia di kedudukan 7.0 batu nautika barat daya Pulau Lalang, pada Ahad.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Perak, Komander Maritim Fadzliana Fadzil berkata, tangkapan dibuat pada jam 2 petang ketika pasukannya sedang melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) dan Operasi Pintas (Op Pintas) di perairan Pulau Sembilan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kru termasuk seorang tekong berusia 40 hingga 44 tahun tidak memiliki pengenalan diri yang sah,

“Mereka juga disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pihak berkuasa setelah memasuki perairan perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Fadzliana berkata, bot serta kru dibawa ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Sitiawan, Perak untuk proses penahanan dan siasatan lanjut.

Tambahnya lagi, penahanan ini membuktikan APMM sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun keadaan cuaca yang tidak menentu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply