Home Pertahanan dan Keselamatan MINDEF sediakan 5 Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan kepada veteran ATM

MINDEF sediakan 5 Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan kepada veteran ATM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menyediakan 5 Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan bagi menjana kebajikan serta kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, skim tersebut bertujuan untuk meringankan beban kewangan veteran ATM terutamanya kepada yang tidak berpencen.

“Senarai skim tersebut adalah Bantuan Sara Hidup dan Bantuan Persekolahan atau Kolej Vokasional Kebangsaan (KVK) kepada anak-anak veteran,

“Bantuan Kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT), Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, MINDEF melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) telah menyediakan pelbagai bentuk kemudahan serta bantuan kepada veteran yang layak sama ada berpencen atau tidak berpencen.

“Kerajaan sentiasa mengambil tanggungjawab dalam membela nasib warga veteran ATM yang telah menaburkan khidmat bakti serta berkorban demi kedaulatan negara,” ujarnya.

Seterusnya mengenai penyelarasan jurang pencen, Hishammuddin berkata, kementeriannya telah melaksanakan sesi libat urus bersama pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Pihak JPA telah memberi maklumbalas bahawa ia perlu melalui beberapa proses termasuklah meminda akta dan peraturan pencen yang sedang berkuatkuasa sebelum ia boleh diluluskan,” jelasnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply