LUMUT, 17 Mac – Kapal Misi Pesisir (Littoral Mission Ship, LMS), KD KERIS telah berjaya menghalang 12 buah bot nelayan asing (BNA) dari memasuki perairan negara, semalam.
Tentera Laut Diraja Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada pukul 5 petang 16 Mac.
“Penyaluran maklumat yang pantas menerusi Maritime Component Commander (MCC) Barat telah mengaturgerak aset yang terhampir iaitu KD Keris untuk ke lokasi pengesanan awal BNA tersebut iaitu di sekitar perairan Tenggara Pulau Perak,
“Setibanya di posisi pengesanan, KD Keris mempamerkan kecekapan menerusi tindakan pengusiran ke atas 5 buah BNA di lapangan dan kekal membayangi BNA sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara,” kata kenyataan itu.
Menurut TLDM, 7 buah BNA yang lain terlebih dahulu meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran KD Keris.
Jelasnya, kehadiran bot-bot nelayan asing terbabit telah dikesan oleh pesawat B200T Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Pesawat TUDM telah berjaya mengesan keberadaan 12 buah BNA dinyatakan di dua posisi berbeza iaitu pada 71 batu nautika dan 57 batu nautika Tenggara Pulau Perak,” kata TLDM.
Jelasnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi dalam aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.
Tambahnya, TLDM bersama agensi penguatkuasaan maritim yang lain sentiasa memperkasakan kesiagaan aset-aset OP BENTENG LAUT demi menjaga perairan dan kedaulatan negara. – airtimes.my
Galeri gambar: