Home Pertahanan dan Keselamatan ASEAN Chief of Defence Force perkukuh kerjasama keselamatan, kestabilan serantau

ASEAN Chief of Defence Force perkukuh kerjasama keselamatan, kestabilan serantau

by Nurulhuda

KEMBOJA, 17 Mac – Hubungan pelbagai hala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diperkukuhkan dengan penglibatan dalam mesyuarat 19th ASEAN Chief of Defence Forces yang berlangsung di Phnom Penh, hari ini.

Membawa tema ‘Solidarity for Harmonized Security’, mesyuarat tersebut telah menghimpunkan penglibatan Panglima Angkatan Tentera dari negara-negara ASEAN yang lain bagi membincangkan, berkongsi maklumat dan bertukar pandangan mengenai isu keselamatan bersama di rantau ini.

Markas ATM dalam hantaran di media sosialnya berkata, mesyuarat yang dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM ini turut dijadikan sebagai satu landasan untuk mengukuhkan dan mengembangkan kerjasama dalam menangani pelbagai isu yang mengancam sektor keselamatan serta memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

“Pertemuan bersama ini sekaligus membuktikan semangat kerjasama, perpaduan yang erat dan persahabatan yang baik telah terjalin antara Malaysia dengan negara anggota ASEAN yang lain,

“Dalam persidangan pada kali ini turut menyaksikan penglibatan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal yang akan hadir ke persidangan ASEAN Military Intelligence Meeting (AMIM),

“Manakala Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan (OLP), Mejar Jeneral Datuk Zaidan Atan pula akan menghadiri ke persidangan ASEAN Military Operation Meeting (AMOM) yang juga merupakan sebahagian dari aktiviti persidangan negara ASEAN yang berlangsung mulai 14 hingga 17 Mac 2022,” jelas hantaran itu.

Tambah kenyataan itu, General Vong Pisen, Commander-in-Chief of the Royal Cambodian Armed Forces (RCAF) telah menyerahkan jawatan pengerusi ACDFM kepada Wakil Panglima Angkatan Tentera Tentera Nasional Indonesia (TNI), Leftenan Jeneral Eko Margiyono yang akan mempengerusikan Mesyuarat ACDFM ke-20 pada tahun 2023 di Indonesia.-aitimes.my

Related Articles

Leave a Reply