Home SemasaGlobal Hanya 4 warga Malaysia masih berada di Ukraine

Hanya 4 warga Malaysia masih berada di Ukraine

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menjelaskan, hanya 4 orang warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kyiv masih berada di Ukraine.

Beliau berkata, pihak kedutaan melalui perwakilan Malaysia di negara-negara berdekatan Ukraine terutamanya di Warsaw, Poland sentiasa berhubung rapat dengan warganegara Malaysia yang masih berada di Ukraine.

“Pihak kedutaan sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya mereka berhasrat untuk keluar dari Ukraine,

“Bantuan yang diberikan termasuk memudah cara urusan kemasukan di sempadan-sempadan negara berkaitan,

“(Ini termasuk) urusan dokumentasi, contohnya pengeluaran sijil perakuan cemas bagi mereka yang memerlukan, menjaga dan memastikan keadaan kebajikan mereka sentiasa terpelihara dan urusan lain yang berkenaan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang bertanyakan sama ada kerajaan menyedari jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine serta jenis bantuan yang telah dan akan disalurkan kepada mereka.

Merujuk video berdurasi 45 saat yang mendakwa sekumpulan penuntut Malaysia masih terkandas di Ukraine, Saifuddin berkata, sehingga kini tiada pengesahan dapat dibuat terhadap dakwaan itu serta identiti mereka sebagai warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menggesa mana-mana warganegara Malaysia di Ukraine yang belum mendaftarkan diri dengan pihak kedutaan dan masih berada di negara itu untuk segera berbuat demikian.

“Sekali lagi saya tekankan akan komitmen kerajaan Malaysia yang senantiasa menitikberatkan kebajikan rakyat kita yang menghadapi masalah di luar negara,

“Kementerian Luar Negeri, melalui Perwakilan-Perwakilan kita yang berdekatan dengan Ukraine sentiasa bersedia untuk membantu sekiranya mereka berhasrat untuk keluar dari negara itu,” tambahnya. -aritimes.my

Related Articles

Leave a Reply