Home Pertahanan dan Keselamatan Ackbal bersara setelah 42 tahun menabur bakti

Ackbal bersara setelah 42 tahun menabur bakti

by Air Times News Network

SUBANG, 7 Mac – Setelah 42 tahun menabur bakti di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM hari ini menamatkan perkhidmatannya sebagai Panglima Tentera Udara ke-19.

Upacara Perbarisan Persaraan dan Serah Terima Jawatan Panglima Tentera Udara telah dilaksanakan dengan penuh istiadat ketenteraan bertempat di Pangkalan Udara Subang, pada Isnin.

TUDM dalam satu kenyataan berkata, istiadat perbarisan terdiri daripada 28 pegawai dan 431 anggota serta diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat TUDM; Kolej Tentera Udara, Alor Setar dan Akademi Tentera Udara, Ipoh.

“Perbarisan istiadat ini melibatkan 8 panji-panji iaitu dari Rejimen TUDM, Kolej Tentera Udara, No. 10 Skuadron (Skn), No. 12 Skn, No. 15 Skn, No. 16 Skn, No. 18 Skn dan No. 20 Skn bersama 4 Skn Pengawal,

“Perbarisan dimulakan dengan penghormatan kepada Panglima Tentera Udara Ke-19 daripada anggota perbarisan diikuti terbang lintas hormat 3 buah helikopter EC 725 AP yang membawa bendera TUDM serta pemeriksaan perbarisan,

“Seterusnya, diikuti terbang lintas aset operasi udara yang melambangkan keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset TUDM melibatkan pesawat-pesawat pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, istiadat perbarisan ini turut dihadiri oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM yang menyaksikan upacara pemakaian pangkat ‘Jeneral TUDM’ kepada Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.

Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM menyeru agar warga TUDM terus berkhidmat dengan jujur dan ikhlas dengan semangat kerjasama yang mampan.

“Pemakaian pangkat telah disempurnakan secara bersama oleh Ackbal dan isteri Panglima Tentera Udara Ke-20, Datin Sri Bibi Nasratjahan Gulab Khan,

“Upacara Serah Terima Jawatan Panglima Tentera Udara di antara Ackbal dan Mohd Asghar Khan juga telah dilaksanakan di hadapan kontijen perbarisan mengikut istiadat ketenteraan,

“Kemudiannya disusuli dengan penyerahan ‘Tonggak Kuasa’ sebagai simbolik penyerahan kuasa memegang tampuk pemerintahan TUDM,” ujarnya.

Beliau dalam ucapannya berkata, amat bertuah dan berbangga kerana telah dikuatkan semangat untuk menjalankan tugas sebagai Panglima Tentera Udara, disamping mendapat sokongan yang begitu jitu lagi mantap daripada barisan para pemimpin di dalam TUDM.

Pada masa sama, beliau menyeru agar warga TUDM terus berkhidmat dengan jujur dan ikhlas dengan semangat kerjasama yang mampan.

“Saya menyeru kepada seluruh warga TUDM untuk memberi kerjasama yang jitu kepada Panglima Tentera Udara yang ke-20 iaitu Jeneral Datuk Seri Asghar Khan Goriman Khan TUDM serta isteri,” katanya.

Ackbal mula menyertai TUDM pada 1 Jun 1980 di Cawangan Kadet, Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi dan telah menjalani Kursus Penerbangan Asas pada tahun 1983 di TUDM Alor Setar.

Kerjaya awal beliau adalah sebagai seorang Juruterbang Pesawat Pejuang di beberapa buah Skuadron Operasi TUDM pada tahun 1985-1990 dan 1994-1999.

Beliau juga telah dipilih oleh Panel Khas TUDM untuk mengikuti Kursus Juruterbang Penguji Pesawat (Test Pilot) di United Kingdom bagi sesi tahun 1993-1994.

“Di antara pengalaman operasi yang pernah dilalui adalah Operasi Penerbangan Pemantauan Terumbu Layang-Layang, Operasi Pemintasan Pesawat Angkut Negara Rusia (Operasi ‘Zombies Watch’) dan Operasi Membanteras Pengganas Komunis melalui pengguguran bom di Sempadan Malaysia-Thailand,

“Selain itu, beliau juga terlibat dalam Operasi Pemantauan Selat Melaka, Operasi Daulat serta menerajui beberapa jawatan-jawatan pengurusan dan staf, baik di Markas Formasi mahupun di Markas Tentera Udara di Kementerian Pertahanan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply