Home PolitikBarisan Nasional Muhyiddin ‘curi’, ‘beli’ ahli UMNO demi kedudukan dan jawatan – Zahid Hamidi

Muhyiddin ‘curi’, ‘beli’ ahli UMNO demi kedudukan dan jawatan – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba melemahkan UMNO dengan ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli UMNO demi memperkukuhkan kedudukan PN serta jawatannya sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, tindakan itu, sekali gus menolak kenyataan Muhyiddin yang menyatakan beliau tidak pernah berniat menjadi Perdana Menteri selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

“Dia (Muhyiddin) kata saya yang mahu menyokongnya jadi Perdana Menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan lalu dia pun jadi Perdana Menteri,

“Tetapi dia tidak kata bagaimana proksi-proksinya berusaha gigih memujuk wakil rakyat bukan PH termasuk daripada UMNO agar menyokongnya jadi Perdana Menteri,

“Menjanjikan sebuah perpaduan yang jujur dan ikhlas atas nama Melayu dan Islam, tetapi rupa-rupanya ada udang di sebalik batu dengan kuasa sebagai Perdana Menteri,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Ahmad Zahid turut menyifatkan kenyataan bahawa Muhyiddin tidak berhasrat menjadi PM tidak selari dengan ‘tawaran’ yang pernah diberikan secara terbuka demi mendapatkan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Mari kita fikir sejenak apakah seseorang yang mengaku dirinya tidak pernah berhasrat menjadi Perdana Menteri akan cuba ‘menyogok’ ahli Parlimen secara terbuka di kaca TV supaya menyokongnya kekal sebagai Perdana Menteri gara-gara terdesak?

“Apakah seseorang yang tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri dalam kata-kata terakhir kepada pegawai-pegawainya di Putrajaya membayangkan dia akan kembali sebagai Perdana Menteri?

“Apakah seseorang yang tidak pernah mahu menjadi Perdana Menteri dalam ceramah politiknya sempena PRN Johor menyatakan kemungkinan dia akan menjadi Perdana Menteri sekali lagi?” ujarnya.

Sebelum ini, Muhyiddin menjelaskan, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Zahid tampil memberi sokong kepadanya untuk menjadi Perdana Menteri sehingga terbentuk kerajaan PN. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply