Home Pertahanan dan Keselamatan Tuntutan ‘waris kesultanan Sulu’ tak masuk akal – Hajiji

Tuntutan ‘waris kesultanan Sulu’ tak masuk akal – Hajiji

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 5 Mac – Kerajaan negeri Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan ‘waris Kesultanan Sulu’ terhadap negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menyifatkan tuntutan itu sebagai ‘sesuatu yang tidak masuk akal’ dan menegaskan bahawa Sabah adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Justeru, Hajiji menggesa rakyat agar bertenang dalam isu itu dan menyerahkan kepada pasukan perundangan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menanganinya.

“Ia adalah satu tuntutan yang tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak seharusnya dipertikai,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, Wisma Putra dan Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan bersama memaklumkan tidak mengiktiraf tuntutan pihak yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram II menerusi prosiding timbang tara antarabangsa di Perancis.

Terdahulu pada 1 Mac, penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa mengarahkan kerajaan Malaysia membayar AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris sultan Sulu yang membuat tuntutan itu.

Waris berkenaan membuat tuntutan tersebut selepas Malaysia didakwa berhenti membayar wang serahan tahunan RM5,300 kepada waris Sultan Sulu sejak 2013, yang mana ia melanggar perjanjian 1878 yang ditandatangani oleh Sultan Jamal Al Alam, Baron de Overbeck dan Alfred Dent milik Syarikat British Utara Borneo.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply