Home Pertahanan dan Keselamatan Pembukaan semula yang selamat jadi prinsip panduan kerajaan – Hishammuddin

Pembukaan semula yang selamat jadi prinsip panduan kerajaan – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan, usaha pembukaan semula negara yang selamat kekal sebagai prinsip panduan kerajaan untuk memastikan kapasiti penjagaan kesihatan Malaysia terurus walaupun kes baharu positif COVID-19 meningkat.

Beliau menerusi akaun Twitter rasminya berkata, Kuartet Menteri COVID-19 memahami bahawa banyak negara telah mula menghapuskan sekatan bagi menangani pandemik itu pada skala yang lebih besar, namun kerajaan perlu sentiasa berhati-hati.

“Jumlah penerima vaksin adalah tinggi dan #ReopeningSafely kekal sebagai prinsip panduan kami untuk memastikan kapasiti penjagaan kesihatan kami kekal terurus,

“Dalam merangka strategi keluar negara kita daripada #COVID19 (COVID-19) dan selaras dengan #Membuka Semula Dengan Selamat, Malaysia akan memasuki fasa ‘Peralihan ke Endemik’ tidak lama lagi,

“Lebih banyak sektor akan dibuka, kawalan sempadan dilonggarkan; tetapi langkah berjaga-jaga keselamatan seperti pemakaian pelitup muka dan kebersihan diri mesti dijaga,” katanya.

Hishammuddin berkata, walaupun kes positif COVID-19 di Malaysia kini lebih tinggi berbanding ketika gelombang Delta pada Ogos tahun lepas, namun bilangan kemasukan pesakit dan kematian yang direkodkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 80 peratus hingga 90 peratus lebih rendah.

“Kami mahu trend #decoupling ini kekal dan @KKMPutrajaya (Kementerian Kesihatan) akan terus memantau sebelum memutuskan sebarang kelonggaran yang seterusnya,” jelasnya.

Semalam, Hishammuddin dalam sidang media secara dalam talian selepas Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 berkata, gelombang Omicron tidak akan menyebabkan kerajaan melaksanakan semula sekatan pergerakan secara besar-besaran kerana ramai rakyat Malaysia telah melengkapkan suntikan vaksinasi COVID-19.

Tambanya, Kementerian Luar dan Kementerian Pengangkutan kini sedang meneliti negara asing yang berpotensi untuk dimasukkan dalam senarai Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) dari semasa ke semasa. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply