TAWAU, 03 Mac – Pasukan Polis Marin (PPM) telah menahan dan mengusir sebuah bot dari negara jiran yang membawa 6 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke Tawau di Kawasan Perairan Aji Kuning, Pulau Sebatik, semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Komisioner Polis (DCP) Ridzauddin Selamat berkata, pihaknya telah berjaya menahan sebuah bot yang dijuragani oleh seorang lelaki yang membawa 6 orang penumpang warga asing.
“Kesemua PATI berumur antara 25 tahun hingga 40 tahun terdiri daripada 2 orang lelaki dewasa dan 4 orang wanita serta tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah,
“Juragan bot telah diarahkan berpatah balik dan diiring keluar dari perairan negara,
“Mereka juga diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengekang penularan wabak COVID 19,” jelasnya dalam hantaran di media sosial PPM Wilayah 4.
Ridzauddin menjelaskan, pihaknya menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah rentas sempadan bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan perairan negara.-airtimes.my