Home Pertahanan dan Keselamatan Industri pertahanan nasional mesti bangkit, bantu perkukuh kedaulatan negara – STRIDE

Industri pertahanan nasional mesti bangkit, bantu perkukuh kedaulatan negara – STRIDE

by Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Industri pertahanan tempatan perlu bangkit semula dan berupaya untuk berdikari tanpa bergantung kepada kepakaran dari luar, dalam usaha mengukuhkan keselamatan dan pertahanan negara, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains Dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Dr Mohd Yazid Ahmad.

Beliau berkata STRIDE sentiasa bersedia berganding bahu dengan pemain industri pertahanan tempatan terutamanya dalam menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan serta latihan dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

Menurutnya, keupayaan berdikari ini bagi memastikan barisan pertahanan negara dapat mempertahankan kedaulatan negara dengan sumber dalaman tanpa atau dengan sokongan minimum daripada sumber atau syarikat pertahanan negara luar.

“Usaha untuk menyokong keperluan dan kesiagaan barisan pertahanan khususnya dalam bidang utama seperti bekalan peralatan asas ketenteraan, persenjataan serta penyelenggaraan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berjaya jika kepakaran tempatan terus diperkukuh.

“Malaysia telah mewujudkan industri pertahanan negara pada 1960, yang ketika itu memfokuskan pembangunan keupayaan menyenggara serta keupayaan memasang dan membina aset-aset ATM yang membawa kepada perkembangan industri ini telah berkembang kepada beberapa sektor utama antaranya maritim, aeroangkasa, automotif dan persenjataan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini

Mohd Yazid berkata sokongan kerajaan menekankan penggunaan produk keluaran tempatan, memastikan usaha mengembangkan industri ini berhasil termasuk komitmen dari segi kewangan untuk membangunkan peralatan dan sistem berteknologi tinggi dan berkualiti menerusi penyelidikan, bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah luar negara.

“Sekarang ini, STRIDE juga sedang giat melaksanakan kajian dan penyelidikan melibatkan ahli akademik serta pemain industri tempatan, termasuk menjalin hubungan strategik antara Kementerian Pertahanan dengan agensi berkaitan dengan menyediakan kemudahan geran serta dana khas bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata STRIDE yang telah wujud sejak 54 tahun mempunyai lebih 100 pegawai dan kepakaran dalam teknikal dan pengujian antaranya pengujian kereta perisai mobiliti tinggi 4X4 pertama Malaysia dan pengujian jaket (vest) kalis peluru.

Beliau menjelaskan bagaimanapun, terdapat jurang institusi itu dengan pemain industri yang melihat daripada perspektif berbeza terhadap kajian atau pembangunan berkaitan produk pertahanan.

“Contohnya, kita berpendapat tiada ruang untuk penambahbaikan prototaip yang dihasilkan tidak mendapat permintaan atau menarik minat industri untuk dikomersialkan manakala pihak industri pula beranggapan prototaip yang dihasilkan tidak memenuhi keperluan pengguna akhir dan sukar untuk menarik pelaburan,” katanya.

Mohd Yazid berkata isu berkenaan diatasi menerusi penyediaan dana dan platform oleh kerajaan bagi mempromosikan prototaip oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang mengendalikan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional.

Beliau berkata STRIDE sendiri berperanan penting dengan menjadi penghubung antara pihak yang berkaitan bagi melaksanakan kajian lanjutan atau menguji produk-produk yang bakal dan sedang dihasilkan untuk pengesahan kualiti dari aspek inovasi bagi industri tempatan.

Menyentuh mengenai pengkomersialan ciptaan inovasi tempatan, Mohd Yazid berkata negara ini mempunyai potensi yang tinggi kerana pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk kelengkapan pertahanan.

Sejajar dengan potensi ini, beliau berkata pemain industri perlu mempelbagaikan produk bukan sahaja untuk sektor berkenaan malah kegunaan awam bagi meningkatkan peluang pasaran sekali gus dapat meluaskan jaringan pelanggan berpotensi bagi produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Pewujudan pusat data sehenti bagi produk dan perkhidmatan pertahanan dan keselamatan tempatan bertindak sebagai e-Directory bagi mempromosikan syarikat pertahanan dan keselamatan negara yang berkeupayaan untuk rujukan semua pihak di seluruh dunia juga dapat membantu mengembangkan industri ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yazid berkata bagi meningkatkan daya saing serta membangunkan ‘talent pool’, pendedahan asuhan bakat dan pembangunan kepakaran dalam aspek praktikal sains dan teknologi pertahanan perlu diberikan penekanan bermula daripada peringkat pengajian tinggi di institusi pengajian tempatan.

“Ini bagi melahirkan lebih ramai pakar tempatan dalam bidang pengkhususan melalui sektor ini, dan dapat digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan industri ini tanpa bergantung kepada industri pertahanan luar negara,” katanya.- BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply