Home Pertahanan dan Keselamatan Penyeludup daun ketum rempuh bot APMM elak ditahan

Penyeludup daun ketum rempuh bot APMM elak ditahan

by Nurulhuda

KUALA PERLIS – Tindakan 2 lelaki merempuh bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis untuk meloloskan diri ke perairan Thailand semalam, membawa kepada pembongkaran penyeludupan 3.2 tan ketum bernilai RM576,000.

Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, berkata kejadian berlaku pada jam 6.50 pagi di kedudukan 5.8 batu nautika barat pantai Kurung Tengar, apabila pasukan operasi khasnya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil maklumat risikan selama 2 bulan, kita berjaya mengesan bot suspek yang berukuran 12 meter dan lebarnya pula kira-kira 2.5 meter serta menggunakan enjin sangkut dengan 600 kuasa kuda,

“Ketika kejadian, bot itu bergerak dalam keadaan gelap menyebabkan kita segera mengatur gerak bot ronda pasukan operasi ke lokasi,

“Menyedari kehadiran anggota APMM, 2 suspek dalam bot itu bertindak mengemudi bot secara berbahaya dengan merempuh bot penguat kuasa APMM dalam usaha meloloskan diri,” katanya pada Ahad.

APMM Kuala Perlis temui 300 bungkusan plastik berwarna hitam dan 13 bungkusan plastik berwarna putih yang disyaki daun ketum dengan anggaran berat lebih kurang 3.2 tan bernilai RM576 ribu.

Mohd Hashim menjelaskan, rempuhan tersebut menyebabkan bot suspek mengalami kebocoran pada bahagian haluan dan kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan berumur 37 serta 48 tahun ditahan anggota penguat kuasa.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut telah menemukan 300 bungkusan plastik berwarna hitam dan 13 bungkusan plastik berwarna putih yang disyaki daun ketum dengan anggaran berat lebih kurang 3.2 tan bernilai RM576 ribu. Ia dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk daun ketum, bot fiber berserta enjin sangkut dianggarkan sekitar RM956 ribu,

“2 suspek serta kesemua barangan rampasan termasuk bot ditahan dan dibawa ke jeti APMM Kuala Perlis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Menurut Hashim, modus operandi penyeludup ialah menggunakan bot penumpang mewah serta enjin sangkut berkuasa tinggi bagi mengaburi mata pihak berkuasa. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply