KUALA KURAU, 8 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C bersama 3 kru warga Thailand di Pulau Terong, pada Isnin.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, rondaan anggotanya telah mengesan bot nelayan tersebut dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 12.8 batu nautika barat daya Pulau Terong.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan 3 kru termasuk tekong berusia lingkungan 40 hingga 51 tahun yang kesemuanya warga Thailand.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, dokumen pengenalan diri yang dikemukakan oleh kesemua suspek adalah meragukan,
“Sebanyak 100 kilogram hasil ikan baja turut ditemui semasa pemeriksaan ke atas bot dilakukan,
“Kesemua suspek, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil ikan dibawa ke Jeti Zon APMM Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Sharenliza berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Tambahnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.-airtimes.my