Home Pertahanan dan Keselamatan PDRM rampas 350kg daun ketum

PDRM rampas 350kg daun ketum

by Air Times News Network

KUBANG PASU, 4 Feb – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) telah berjaya menahan sebuah kenderaan yang membawa muatan daun ketum di Jalan Alor Star – Bukit Kayu Hitam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Suprintenden Rodzi Abu Hassan berkata, dalam melaksanakan Operasi Pelbagai (Op Pelbagai) telah terserempak dengan sebuah kenderaan jenis Proton Wira Aeroback yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Kenderaan tersebut telah diarahkan untuk berhenti, namun suspek bertindak memecut laju bagi mengelak diri ditahan,

“Suspek berjaya ditahan setelah kenderaan tersebut terbabas sehingga melanggar sebatang pokok di kawasan Kampung Kubang Tiga,

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 35 plastik hitam yang disyaki mengandungi daun ketum,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tambahnya, anggaran rampasan daun ketum sebanyak 350kg, tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply