Home Pertahanan dan Keselamatan 14 PATI ditangkap cuba masuk Sabah pada ambang Tahun Baru Cina

14 PATI ditangkap cuba masuk Sabah pada ambang Tahun Baru Cina

by Air Times News Network

TAWAU, 1 Feb – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) berjaya mematahkan cubaan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang cuba menceroboh masuk ke Sabah, semalam.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kejayaan ini adalah hasil pengesanan awal menerusi Radar Coastal Surveillance Station (CSS) yang berjaya mengesan sebuah bot dari luar sempadan memasuki perairan Malaysia, pada jam 7.38 malam.

“Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2 telah bertindak mengarahkan Tim Quick Reaction Force (QRF) yang sedang melaksanakan rondaan Operasi BENTENG BERSAMA,

“Hasil dari tindakan pantas Tim QRF telah berjaya menahan 14 PATI yang sedang bersembunyi di dalam sebuah rumah kosong, di Jambatan 1, Kampung Kurnia Jaya, Tawau,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal terhadap kesemua PATI merupakan warganegara Indonesia dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta cuba memasuki Malaysia secara haram.

“Mereka terdiri daripada 7 lelaki berusia antara 19 hingga 41 tahun, 5 wanita berusia antara 21 hingga 48 tahun, kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun dan bayi perempuan berusia 2 tahun yang ditemui bersama barang persendirian,

“Kesemua mereka telah diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik menuju ke Tawau, dan seterusnya akan diambil dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Katanya, kesemua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 9.20 malam bagi tujuan soal siasat dan saringan COVID-19 serta tindakan selanjutnya.

Semua PATI dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi tujuan soal siasat dan saringan COVID-19. Foto: ATB 2

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 jika sabit kesalahan iaitu tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” jelasnya.

Pada masa sama, Abdul Karim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada anggota-anggota bertugas di Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB), Radar CSS, Tim QRF, IPD Tawau dan SUB PUSOP ESSCOM di atas sokongan pelaksanaan operasi ini.

“Ini merupakan kejayaan tangkapan PATI yang kelima sepanjang bulan Januari,

“MK ATB 2 telah mengarahkan agar Tim QRF melaksanakan corak rondaan dipelbagaikan dalam usaha untuk mematahkan aktiviti jenayah rentas sempadan selain pengumpulan maklumat risikan bagi menangkap tekong darat,

“Usaha secara berterusan dan mengeksploitasikan keupayaan radar dan dron bagi memastikan kejayaan operasi yang dilaksanakan,” jelasnya.

Tambah Abdul Karim, ATB 2 turut berusaha mengukuhkan jaringan komunikasi di antara agensi penguatkuasa untuk bersama-sama mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan dari terus berlaku.

“ATB 2 akan sentiasa komited dan berada pada kesiapsiagaan operasi yang tertinggi dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan negara melalui pelaksanaan Op PASIR dan Op BENTENG BERSAMA,” tambahnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply