Home Pertahanan dan Keselamatan Wisma Bintara ATM sedia penginapan bertaraf hotel

Wisma Bintara ATM sedia penginapan bertaraf hotel

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=nTFlNiOFkEM[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Wisma Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyediakan penginapan dan kemudahan bertaraf hotel untuk Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) ATM yang bertugas di Kementerian Pertahanan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, PTTK ATM yang bujang atau tinggal berjauhan dari keluarga hanya perlu membayar sebanyak RM50 hingga RM60 sebulan termasuk sajian.

“Pembinaan wisma setaraf hotel ini menyediakan 200 bilik penginapan yang selesa untuk kemudahan bintara ATM. Ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk surau, dewan banquet, gelanggang sukan, gimnasium dan lain-lain,

“Saya percaya kewujudan Wisma Bintara ATM mampu meningkatkan moral dan menjadi pemangkin kepada lonjakan profesionalisme ATM sebagai benteng utama pertahanan negara,

“Projek ini juga menjadi sebahagian komitmen ATM dalam menjaga kebajikan warganya,” katanya pada pemberita sempena Majlis Perasmian Wisma Bintara ATM di Jalan Padang Tembak, pada Jumaat.

Projek ini menjadi sebahagian daripada komitmen Kementerian Pertahanan dan ATM dalam menjaga kebajikan warganya seiring dengan Pelan Tindakan 2022 (PT 22) – Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa komitmen untuk menyokong dan membantu menyelesaikan apa juga permasalahan, khususnya berkaitan hal ehwal kebajikan anggota dengan pendekatan berhemah serta berdasarkan keutamaan.

Tambahnya, komitmen itu juga sekali gus memenuhi aspirasi kerajaan menerusi kementerian berkenaan yang menekankan konsep Keluarga Malaysia.

“Projek ini menjadi sebahagian daripada komitmen kementerian ini dan ATM dalam menjaga kebajikan warganya seiring dengan pelan tindakan 2022 (PT 22),

“Ia juga merupakan teras ketiga Pelan Strategik Mindef (PSM) yang menekankan pelestarian kesejahteraan warga kerja pertahanan serta dan sekaligus memenuhi aspirasi kerajaan yang menekankan konsep Keluarga Malaysia,” tambahnya.

Majlis Perasmian Wisma Bintara ATM di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, hari ini.

Bangunan Wisma Bintara ATM ini mula dibina pada 3 Julai 2017 dan siap sepenuhnya Disember 2020 dengan upacara majlis pecah tanah disempurnakan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada 27 September 2016.

“Bangunan Wisma Bintara ATM yang baru mula dibina pada 3 Julai 2017 ini telah siap dibina pada 28 Disember tahun lalu,

“Projek pembangunan ini di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menyumbang kira-kira RM30 juta untuk kos pembinaan,” jelasnya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM. -airtimes.my

Galeri Gamabr:

 

Related Articles

Leave a Reply