Home Pertahanan dan Keselamatan Tekong sumbat 7 PATI dalam kereta

Tekong sumbat 7 PATI dalam kereta

by Nurulhuda

TAWAU, 18 Jan – Tindakan tekong darat menyeludup masuk 7 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dengan menggunakan kereta Proton Iswara gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Jalan Habib Sheikh, Sabindo, malam tadi.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, kejadian yang dilakukan pada jam 10.30 malam itu turut melibatkan anggota dari Unit Risikan Marin (URM) dibantu Tim Ocp Daratan ESSCOM, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD).

Menurutnya, anggota bertugas telah membuat pemantauan dan risikan di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas dan mengesan sebuah kenderaan dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu memecut kenderaan menghala ke pusat bandar.

“Pasukan keselamatan kemudiannya bertindak mengejar kenderaan terbabit sebelum berjaya ditahan di kawasan parkir berhampiran bangunan kedai,

“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 8 individu termasuk pemandu, 3 wanita, seorang lelaki dan 3 kanak-kanak duduk berhimpit di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ridzauddin berkata, siasatan lanjut juga mendapati semua mereka yang berumur antara dua hingga 38 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk memasuki negara ini.

Beliau berkata, lelaki tempatan berasal dari Kampung Hampalan Semporna yang juga pemandu kenderaan disyaki berperanan sebagai tekong darat, turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Semua mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 26J, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670),” katanya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply