LUBOK ANTU, 18 Jan – Seramai 8 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dan 2 lelaki tempatan dipercayai tekong darat ditahan polis di jalan utama di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Komisioner Polis (DCP) Victor Ripon berkata, kejayaan tersebut adalah hasil rondaan pencegahan jenayah oleh pasukan polis di sekitar pekan ini.
Menurutnya, pada jam 10.30 pagi, anggota dari IPD Lubok Antu telah menahan dan memeriksa sebuah kenderaan di hadapan IPD Lubok Antu.
Tambahnya, anggota polis telah menahan seorang lelaki tempatan bersama seorang penumpang warganegara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
“Kedua-dua lelaki terbabit disoal siasat di lokasi dan memberitahu sebuah lagi kenderaan akan tiba dan turut bersama membawa penumpang warganegara Indonesia,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Berdasarkan maklumat tersebut, polis bertindak dan selang 5 minit kemudian sebuah kenderaan melalui lokasi sama telah ditahan.
“Hasil pemeriksaan kenderaan kedua, polis menemui seorang pemandu lelaki tempatan dengan membawa bersama 7 penumpang warganegara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” tambahnya.
Victor menjelaskan, 8 PATI Indonesia berusia anatra 18 hingga 31 tahun itu ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pas imigresen yang sah.
Manakala, 2 pemandu lelaki warga tempatan dipercayai tekong darat, ditahan di bawah Akta Antipemerdagangan orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana disyaki membawa PATI ke negara Malaysia tanpa menggunakan laluan sah. -airtimes.my