Home Pertahanan dan Keselamatan Lebih 10,000 veteran ATM bakal sertai kerjaya Ekonomi Gig

Lebih 10,000 veteran ATM bakal sertai kerjaya Ekonomi Gig

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=oearrbSiN2E[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Lebih 10,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disasarkan menyertai dan mendapat manfaat untuk meningkatkan status sosio ekonomi masing-masing melalui peluang kerjaya Ekonomi Gig yang dirasmikan oleh Kementerian Pertahanan, hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM telah berkolaberasi bersama syarikat Code 7 Tech Sdn Bhd (Code 7) dalam membantu veteran ATM mendapatkan peluang kerjaya kedua yang lebih luas terutamanya ketika berhadapan pasca pandemik COVID-19 di dalam negara.

Beliau menjelaskan, konsep Gig yang dirancang secara meluas di negara ini boleh dimanfaatkan kepada veteran ATM melalui inisiatif dan kepakaran yang sedia dimiliki.

“Jumlah veteran yang berdaftar dengan JHEV ATM adalah seramai 204,164 orang. Daripada jumlah ini, seramai 104,845 orang adalah veteran berpencen manakala seramai 73,825 orang yang tidak berpencen,

“63 peratus daripada veteran merupakan mereka yang berumur di bawah 60 tahun, di mana lebih 120,00 veteran berpotensi untuk menyertai kerjaya gig ini,

“Jadi kita (Kementerian Pertahanan) mensasarkan 10,000 veteran bakal menyertai inisiatif ini dan saya percaya ia bakal meningkatkan sosio ekonomi mereka,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kerjaya Ekonomi Gig untuk veteran ATM, di Wisma Perwira ATM, pada Rabu.

Selain itu, Ikmal Hisham turut menjelaskan, pelbagai manfaat yang bakal veteran ATM perolehi sekiranya mereka menyertai peluang kerjaya ekomomi Gig melalui Code 7 ini.

“Code 7 telah bersetuju untuk menawarkan tangga gaji yang lebih menarik kepada veteran ATM yang menyertainya. Malah, konsep Gig yang membenarkan fleksibiliti masa dan lokasi merupakan bonus point untuk veteran ATM menyertainya sebagai mengenang jasa veteran ATM kepada negara,

“Kerjaya Gig menerusi Code 7 yang menawarkan perkhidmatan berasaskan keselamatan adalah signifikan dengan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki oleh majoriti veteran ATM,” tambahnya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz bersama Ketua Pegawai Eksekutif Code 7 Tech Sdn Bhd, Datuk Patrick Ong merasmikan pelancaran Kerjaya Ekonomi Gig untuk veteran ATM, di Wisma Perwira ATM, hari ini.

Mengulas mengenai tangga gaji, Ikmal Hisham berkata, pesara tentera akan memperoleh manfaat gaji sebanyak RM7.80 sejam serta dibayar setiap 2 minggu sekali.

“Mengenai skop kerja pula, kebanyakannya membabitkan sektor keselamatan dan perkhidmatan mereka akan diperoleh oleh orang awam apabila melanggan melalui aplikasi yang disediakan,

“Sebagai contoh, jika ada pelanggan yang mahu menggunakan perkhidmatan veteran seperti mengawal atau memeriksa kediaman, veteran ini akan sampai dan menerima bayaran atas perkhidmatan mereka,” jelasnya.

Ikmal Hisham turut menjelaskan, Code 7 ini memberi tumpuan di Lembah Klang terlebih dahulu pada suku tahun 2022 dan seterusnya akan diperluas perkhidmatannya ke kawasan-kawasan perbandaran utama di bahagian selatan, utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, hampir 60 peratus permohonan veteran ATM di Sabah dan Sarawak.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan pihak koporat lain yang berhasrat untuk berkolaborasi bersama Kementerian Pertahanan terutamanya JHEV ATM untuk meningkatkan kehidupan veteran dan keluarga.

“Besar harapan saya, agar rakan stategik kerjaya Gig JHEV ATM tidak terhad hanya Code 7 sahaja, mana-mana berhasrat untuk bekerjasama dengan JHEV ATM dalam menjaga kebajikan golongan veteran amat dialu-alukan,

“JHEV ATM akan terus berusaha untuk berkolaberasi dengan lain-lain rakan stategik dalam penawaran perkhidmatan gig untuk meningkatkan taraf hiudp veteran dan tanggungan,” tambahnya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dr Anis Mahmud, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Ketua Pegawai Eksekutif Code 7 Tech Sdn Bhd, Datuk Patrick Ong dan Penasihat Code 7 Tech Sdn. Bhd, Leftenan Jeneral Datuk Dr. William Stevenson (Bersara).-airtimes.my

Galeri:

Related Articles

Leave a Reply