Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot, 4 nelayan langgar syarat sah lesen

APMM tahan bot, 4 nelayan langgar syarat sah lesen

by Air Times News Network

PELABUHAN KLANG, 10 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Selangor berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menunda di kedudukan 4.1 batu nautika barat Kuala Selangor, pada Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot kelas B1 itu dikesan semasa rondaan rutin Operasi (Op) EHSAN di perairan Selangor pada jam 7.30 pagi.

“Pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan 4 kru termasuk tekong, berumur lingkungan 35 hingga 44 tahun,

“2 daripada kru warga Myanmar menggunakan dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh serta gagal menunjukan dokumen pengenalan diri yang terkini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohammad Rosli, kesemua kru termasuk tekong ditahan dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menunda kurang dari 5 batu nautika.

“2 kru warga Myanmar disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu dokumen pengenalan diri tamat tempoh,

“Bot dan kesemua 4 kru ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply