Home Pertahanan dan Keselamatan 3 PATI sembunyi tunggu ejen daratan dicekup

3 PATI sembunyi tunggu ejen daratan dicekup

by Nurulhuda

TAWAU, 10 Jan – Cubaan 3 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyusup masuk ke daerah ini digagalkan oleh Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di muara Sungai Titingan, semalam.

Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) dalam kenyataan berkata, anggota QRF yang sedang melaksanakan rondaan telah mengesan 3 PATI berusia 40 hingga 49 tahun itu dalam keadaan bersembunyi berhampiran muara untuk menunggu ajen daratan dari Tawau.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim berkata, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga PATI yang terdiri daripada seorang lelaki dan 2 wanita dewasa itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan masuk ke negara ini secara haram.

“Kesemua mereka ditahan bersama barangan peribadi yang dibawa daripada negara asal,

“Mereka dimaklumkan telah menaiki bot yang diaturkan oleh agen dari Pulau Sebatik, Indonesia menuju ke Tawau, dan seterusnya akan diambil oleh agen dari Tawau,”jelasnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau menjelaskan, Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 turut melaporkan penahanan tersebut kepada Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk mendapatkan bantuan Op Cegah PATI Daratan bagi melancarkan proses tangkapan.

“Semua PATI telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada jam 12.45 bagi proses saringan COVID-19 dan tindakan selanjutnya,

“Kesemua PATI ditahan akan didakwa mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Abdul Karim berkata, ATB 2 sentiasa komited dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan negara bagi memastikan sempadan negara dikawal dan ditangani secara serius.

Menurutnya, langkah tersebut penting dalam mengekang jenayah rentas sempadan serta sebarang ancaman keselamatan demi kedaulatan negara, khasnya di Pantai Timur Sabah. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply