Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 2 lelaki, rampas 5 tan ketum di Kuala Kedah

APMM tahan 2 lelaki, rampas 5 tan ketum di Kuala Kedah

by Nurulhuda

KUALA KEDAH, 5 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kedah telah menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 5 tan daun ketum di kedudukan 2.0 batu nautika timur muara Kuala Kedah pada jam 1.40 pagi, semalam.

Pengarah APMM Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya turut menahan 2 lelaki warga tempatan dalam operasi tersebut.

Beliau berkata, serbuan tersebut dilakukan hasil maklumat risikan mengenai aktiviti menyeludup daun ketum oleh sindiket dalam skala yang besar dijangka berlaku di sekitar perairan Kuala Kedah.

Menurutnya, bot PERKASA 1226 telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan dan mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak keluar menuju muara Kuala Kedah.

“Suspek cuba melarikan diri dengan bertindak memecut bot menuju ke daratan berhampiran, namun berjaya dipintas oleh bot PERKASA 1226,

“2 lelaki warga tempatan telah ditahan bersama 200 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum di atas bot berkenaan dengan berat dianggarkan lebih kurang 2 tan,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Hasil siasatan lanjut ke atas 2 suspek yang ditahan, berjaya menemukan lagi 300 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan anggaran berat 3 tan di satu kawasan disyaki lokasi pemunggahan di kedudukan 4.0 batu nautika timur muara Kuala Kedah.

“Daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand telah mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM40 sahaja,

“2 suspek ditahan dan kesemua bungkusan disyaki daun ketum dirampas termasuk bot fiber serta enjin yang dianggarkan bernilai RM1.08 juta itu, seterusnya dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

Sebanyak 300 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan anggaran berat 3 tan turut ditemui di satu kawasan disyaki lokasi pemunggahan di kedudukan 4.0 batu nautika timur muara Kuala Kedah.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

“Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya,

“Kes ini merupakan rampasan daun ketum terbesar bagi Maritim Malaysia setakat ini,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Mohd Zawawi menjelaskan, pihaknya akan terus memperhebatkan operasi serta pemantauan di sempadan perairan negara bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan Utara Semenanjung Malaysia. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply