Home Pertahanan dan Keselamatan ATM siap siaga hadapi gelombang kedua banjir

ATM siap siaga hadapi gelombang kedua banjir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) siap siaga dalam mengaturgerak anggota serta aset ke lokasi di seluruh negara bagi menghadapi gelombang kedua banjir.

ATM dalam kenyataan memaklumkan anggota dari Tentera Darat Malaysia (TDM) kini sedang giat membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi berkaitan dalam menghadapi situasi bencana terutama di pantai timur.

Bagi Operasi Murni (Op Murni) di Kelantan, TDM telah mengaturgerakkan kira 260 pegawai dan anggota serta lebih lebih 24 aset pelbagai jenis termasuk trak 7 tan, 3 tan, bot dan enjin bot ke 10 jajahan dan daerah di seluruh negeri berkenaan.

Menurut ATM, pada masa kini, TDM melalui Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd) sudah mengatur gerakkan Pegawai Perhubungan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di kawasan tanggungjawab (KTJ) iaitu di Kuala Krai (PKOB – Pejabat Tanah Daerah Kuala Krai) dan Jeli (PKOB – Pejabat Tanah Jajahan Jeli), yang diaktifkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada 30 Disember lalu.

“Pasukan Batalion Pertama Rejimen Sempadan (1 RS) dengan kekuatan 2 pegawai dan 50 anggota sedang diatur gerakkan bagi menubuhkan Pangkalan Operasi Hadapan (POH) di Kem Batu 11 dan Kem Sungai Durian,

“Mereka akan membantu PKOB Tanah Merah dan Kuala Krai melaksanakan operasi menyelamat serta memindahkan mangsa banjir,” jelas kenyataan itu semalam.

Tambah kenyataan itu, Batalion Kedua Rejimen Sempadan (2 RS) dengan kekuatan 2 pegawai dan 50 anggota juga sedia diatur gerak di kawasan di kawasan yang ditetapkan.

“Pasukan itu telah diaturgerakkan ke POH di Balai Bomba Pasir Puteh dan Kem Batu Melintang untuk membantu PKOB Jeli dan Paser Puteh dalam operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir,” katanya.

Pada masa kini juga, pasukan Batalion Ke- 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) dengan kekuatan 26 anggota diatur gerakkan ke POH di Balai Bomba Rantau Panjang bagi persediaan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di kawasan berkenaan.

Manakala di Terengganu, pasukan 8 Briged juga telah mengatur gerakkan pegawai perhubungan di PKOB Pejabat Daerah Dungun, yang diaktifkan pada 30 Disember lalu.

“Anggota dari Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja (5 RRD) dengan kekuatan 31 anggota, termasuk seorang pegawai diatur gerak bagi menubuhkan POH di Rumah Rehat Majlis Daerah Dungun,” tambahnya.

Di Pahang pula, Markas ATM menjelaskan, Markas Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) (4 Bgd Mek) telah mengkoordinasikan atur gerak  seramai 17 pegawai dan 404 anggota dalam Op Murni di kawasan yang terlibat.

“Mereka akan digerakkan untuk membantu operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Jerantut, Kuantan, Pekan, Bera, Bentong, Temerloh, Maran, Raub dan Lipis di bawah koordinasi PKOB Negeri Pahang,

“Pasukan itu sudah pun diatur gerakkan sejak 19 Disember lalu melalui pasukan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) (7 RRD Mek) bagi membantu mangsa banjir di Jerantut seperti di Kampung Paya Garok, FELDA Kota Gelanggi 2 dan Kampung Besul,” jelas kenyataan itu.

Jelasnya, bagi kawasan di Hulu Tembeling dan Kuala Tembeling, operasi menyelamat mangsa banjir diletakkan di bawah agensi Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Dalam masa yang sama, ATM juga menyediakan pesawat udara ATM yang kini berpangkalan di Pangkalan Udara (PU) Kuantan dan PU Gong Kedak bagi memberi bantuan kecemasan terutama sekali di negeri Pantai Timur.

“Secara keseluruhannya terdapat 7 pesawat udara ATM dalam keadaan siap siaga iaitu 2 pesawat pengangkut C130, 3 helikopter EC 725 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 2 helikopter Agusta milik Tentera Darat Malaysia (TDM),” tambahnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply