Home Pertahanan dan Keselamatan Kor Kesihatan Diraja turun padang beri rawatan awal kepada mangsa banjir

Kor Kesihatan Diraja turun padang beri rawatan awal kepada mangsa banjir

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=F3XfntJRB8g[/embedyt]

 

BANJIR atau bah merupakan bencana alam yang berlaku pada musim tengkujuh. Selain menyebabkan kemusnahan harta benda dan kemalangan jiwa, bencana ini turut membawa risiko penularan penyakit berjangkit.

Ini sekaligus meletakkan mangsa banjir menghadapi risiko kesihatan kerana terdapat pelbagai jenis penyakit dan ia mampu merebak dengan cepat semasa serta selepas berlakunya bencana.

Semasa bencana banjir berlaku, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Tentera Darat Malaysia (TDM) memanfaatkan setiap cabang perkhidmatannya bagi memenuhi peranan sekunder pasukan pertahanan negara.

Usaha ini dilakukan melalui Operasi Murni (Op Murni) yang bertujuan membantu agensi kerajaan lain dalam usaha menangani kesan bencana kepada rakyat.

Pegawai Perubatan Batalion ke-7 Rejimen Renjer Diraja (7RRD) Mekanize, Leftenan Doktor Atirah Hidayah Mohd Fariz berkata, anggotanya berusaha memberikan khidmat bakti kepada mangsa banjir terutama golongan warga emas dan kanak-kanak yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ataupun di rumah kediaman mereka.

Kebanyakkan mangsa banjir mengalami luka dan terdedah kepada risiko penularan penyakit kulit akibat bencana air bah – Pegawai Perubatan 7RRD Mekanize, Lt Dr Atirah Hidayah

Dr Atirah berkata, pasukan serta anggota perubatan sentiasa bersedia untuk memberikan rawatan yang sewajarnya sebelum pesakit dibawa ke hospital sekiranya memerlukan.

“Sejak 22 Disember lalu, pasukan perubatan 7 RRD Mek telah diaturgerakkan untuk memberikan bantuan perubatan kepada mangsa banjir di Jerantut dan Temerloh,

“Kebanyakkan mangsa terkesan akibat penyakit bawakan banjir dan air. Seperti contoh, satu keluarga mempunyai masalah penyakit kudis dan mengalami jangkitan kulit disebabkan bawakan air,

“Kami telah berikan rawatan sepatutnya iaitu dengan memberikan antibiotik, ubat sapu dan rawatan cuci luka kepada keluarga yang terkesan,

“Selain itu, kami juga telah menjalankan beberapa rawatan kepada ibu mengandung dan kanak-kanak yang tercedera akibat banjir ini,” jelasnya kepada Air Times ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Dr Atirah, terdapat juga golongan warga emas yang mempunyai penyakit seperti kecing manis, darah tinggi dan tiroid yang memerlukan bekalan ubat dengan kadar segera.

Lt Dr Atirah Hidayah sedang memeriksa buku kesihatan salah seorang mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Desa Bakti, Mentakab.

“Kami juga telah memberikan keperluan bekalan ubatan mereka. Kebanyakkan mereka terlepas atau tidak dapat menghadiri pemeriksaan kesihatan bulanan akibat banjir,” katanya.

Pasukan perubatan 7 RRD Mek yang terdiri daripada 3 orang paramedik ditugaskan untuk memantau dan membuat pemeriksaan serta memberikan rawatan awal bagi mencegah penyakit berjangkit menular di kalangan mangsa banjir.

Selain daripada itu, pasukan ini juga turut memberikan kemudahan rawatan kepada orang ramai.

Pahang antara negeri yang terkesan akibat bencana banjir sejak awal lalu.

Anggota 7 RRD Mek meneruskan Operasi Murni bagi menyelamatkan mangsa banjir sejak Ahad lalu.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, jumlah mangsa banjir di Pahang adalah seramai 16,303 orang di 114 pusat pemindahan sementara berbanding 21,726 orang di 148 PPS pada sebelumnya.

Daerah yang masih terjejas banjir ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Bandar Mentakab antara yang lumpuh ditenggelami air dan kesemua jalan utama yang menuju ke bandar itu telah ditengelami sepenuhnya.

Anggota 7 RRD Mekanize melaksanakan kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir di Kampung Sementah, Mentakab.

7 RRD Mekanize juga telah diaturgerakkan bagi membantu menyelamatkan mangsa banjir di bandar berkenaan.

Sehingga hari ini, anggota 7 RRD tetap berusaha bertungkus-lumus bagi melaksanakan pembersihan rumah dan fasiliti awam setelah misi menyelamatkan banjir dilakukan sejak Ahad lalu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply