Home Pertahanan dan Keselamatan Polis jamin keselamatan Sabah terkawal – Ketua Polis Negara

Polis jamin keselamatan Sabah terkawal – Ketua Polis Negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tahap keselamatan di Sabah terkawal walaupun terdapat laporan media antarabangsa yang mendakwa akan berlaku pencerobohan ke atas negeri itu oleh Tentera Diraja Sulu (RSA).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata setakat ini, tiada pengesahan diterima pihaknya mengenai perancangan yang dimaksudkan itu.

Beliau berkata maklumat itu dipercayai dimanipulasi oleh pihak yang mencemburui tahap keselamatan negara serta hubungan rapat antara Sabah dengan wilayah selatan Filipina.

“PDRM memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan serta ancaman pencerobohan,

“Kita akan memberikan komitmen dalam perkara ini bagi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah. PDRM mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina untuk perkongsian maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Acryl Sani berkata PDRM sentiasa bersedia untuk menangani sebarang ancaman dan usaha juga akan dipergiatkan bagi mengesan serta mengenal pasti anasir di Sabah yang berkemungkinan terlibat dalam komplot terbabit.

Menurutnya, sebarang usaha untuk menggugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan dikenakan tindakan tegas.

Media antarabangsa South China Morning Post pada Khamis melaporkan wujud komplot oleh RSA untuk menyerang Sabah.

Laporan itu menyatakan terdapat satu pertemuan rahsia dalam kalangan 19 Datuk Bandar di Filipina bagi membincangkan pengambilan 600 tentera bersenjata untuk melakukan serangan yang dijangka pada sekitar Februari 2022, sebagai memperingati peristiwa Lahad Datu 2013. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply