Home Pertahanan dan Keselamatan APMM rampas 587 biji pil kuda, 500kg daun ketum bernilai RM104 ribu

APMM rampas 587 biji pil kuda, 500kg daun ketum bernilai RM104 ribu

by Nurulhuda

KUALA PERLIS, 7 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Perlis merampas 587 biji pil kuda dianggarkan bernilai lebih kurang RM 14,675.00 dan 50 bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai mengandungi daun ketum bernilai RM90 ribu dalam 2 kejadian berasingan awal pagi semalam di sekitar perairan Kuala Perlis.

Menurut APMM Kuala Perlis, rampasan pertama dibuat ke atas sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dipercayai dikemudi oleh lelaki disyaki warga Thailand di kedudukan 0.2 batu nautika daripada muara Kuala Perlis yang sedang memasuki perairan negara sekitar jam 1.45 pagi.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan, anggota berjaya menjumpai 3 paket kecil plastik berwarna biru yang disyaki pil kuda yang disembunyikan di dalam tin berwarna merah di bahagian hadapan bot dan dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran,

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk pil kuda, bot kayu berserta enjin sangkut bergalah dianggarkan sekitar RM 24,675.00,” jelas APMM dalam kenyataan pada Selasa.

Kemudian, pada jam 5.30 pagi, sebanyak 50 bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai mengandungi daun ketum dirampas pada kedudukan 0.2 batu nautika daripada barat pantai Sungai Baru, Perlis.

“Keseluruhan bungkusan daun ketum tersebut dianggarkan seberat 500 kilogram dengan nilai RM90 ribu mengikut anggaran nilai semasa di negara Thailand iaitu RM180 bagi sekilogram daun ketum berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM70 sahaja,

“Pil kuda, daun ketum, bot beserta enjin telah dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” tambah kenyataan itu.

Bagi kes pil kuda terbabit kes akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 Seksyen 39 dengan kesalahan pengedaran dadah berbahaya dan jika seseorang itu ditangkap, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Manakala, kes daun ketum akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Jika disabit kesalahan, suspek yang ditangkap boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply