Home Pertahanan dan Keselamatan 2 kanak-kanak antara 11 PATI Indonesia ditahan di Lahad Datu

2 kanak-kanak antara 11 PATI Indonesia ditahan di Lahad Datu

by Nurulhuda

LAHAD DATU, 7 Dis – Batalion 17 Gerakan Am (PGA) Lahad Datu telah menahan 11 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dalam Operasi Benteng (Op Benteng) di Jalan Silam berhampiran Taman Harapan Ahad lalu.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, penahanan tersebut melibatkan 2 lelaki, 7 wanita dan 2 kanak-kanak berusia lingkungan 8 hingga 46 tahun.

“Anggota 17 PGA Lahat Datu telah menahan sebuah pacuan 4 roda jenis Isuzu Bighorn selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan pada jam 5.20 pagi,

“Kenderaan terbabit dipercayai digunakan untuk mengambil sebahagian PATI yang baru menyelinap masuk ke negara ini,

“Pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan dinaiki 11 warga Indonesia terdiri 2 lelaki, 7 wanita dan 2 kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Abdul Rani berkata, hasil pemeriksaan lanjut, semua individu didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai baru memasuki negara ini melalui jalan yang diwartakan.

“Semua warga asing terbabit terus ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Tambahnya, semua tahanan turut diarahkan menjalani ujian saringan COVID-19 dan hasil pemeriksaan disahkan negatif.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, kenderaan dianggarkan bernilai RM20,000 yang digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan lanjut. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply