Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: Tentera Darat berkas 45 PATI Indonesia baru mendarat

Op Benteng: Tentera Darat berkas 45 PATI Indonesia baru mendarat

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 29 Nov – Hasrat 45 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang ingin menceroboh masuk Malaysia punah apabila ditahan oleh anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam 3 serbuan Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilaksanakan pada 28 dan 29 November 2021.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) berkata, penahanan tersebut dibuat hasil daripada Radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang telah mengesan pergerakan bot mencurigakan menghala ke arah Teluk Punggai.

Sekitar jam 9.30 malam, anggota petugas Pos Pemerhati juga turut mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di perairan tersebut serta mengesan kelibat orang sedang menuruni bot menuju ke arah pantai.

“Hasil serbuan yang dilakukan pada jam 11 malam telah berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas 30 PATI dipercayai baru saja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,

“Tim Quick Reaction Force (QRF) bersama tim Dron Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diaturgerakkan bagi membuat penjejakan untuk mencari kemungkinan saki baki PATI yang masih bersembunyi di kawasan berkenaan,” jelasnya dalam kenyataan, pada hari ini.

Tambahnya, Tim QRF telah berjaya menangkap 7 lagi PATI berhampiran kawasan tangkapan pertama dan 8 lagi PATI turut ditahan sekitar jam 11 pagi tadi.

“Kesemua mereka dipercayai saki baki PATI yang baru tiba ke negara ini,

“45 PATI tersebut yang terdiri daripada 33 lelaki dan 12 wanita warga negara Indonesia berusia sekitar 17 hingga 56 tahun,” tambahnya.

Pihak 3 Div menjelaskan, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 32,851.19 melibatkan Matawang Malaysia RM 2,838.70, Indonesia 38,102,815.00 (RM 11,316.54), beberapa

matawang asing yang lain serta 38 buah telefon bimbit dan barangan perhiasan.

“Kesemua mereka telah dibuat saringan COVID-19 di Pos Tanjung Sepang dan hasil saringan mendapati kesemuanya negatif COVID-19,

“Mereka akan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas. Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, 3 Div menjelaskan, pihaknya akan meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron ATM serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply