Home Teknologi Pertahanan CAESAR: Maharaja artileri bergerak dari Perancis

CAESAR: Maharaja artileri bergerak dari Perancis

by M.Daim

Lazimnya, kereta kebal utama (main battle tank) menjadi simbolik kekuatan sesuatu ketumbukan ketenteraan. Walaupun begitu, gelaran Raja Medan Perang atau King of the Battlefield sebenar adalah pada artileri.

Sistem artileri dorong kendiri (self-propelled artillery) merupakan satu bahagian atau komponen pembangunan aset tempur ini mengikut arus peredaran zaman.

CAESAR merupakan salah satu sistem artileri dorong kendiri yang mencorak pelbagai medan konflik. Nama sistem tempur ini adalah kependekan atau akronim kepada CAmion Équipé d’un Système d’ARtillerie yang bermaksud trak dilengkapi sistem artileri dalam bahasa Perancis.

Ia dibangunkan oleh syarikat Perancis, GIAT Industries (kini dikenali Nexter).

CAESAR menggunakan meriam 155mm NATO dan dipasang pada casis trak 6×6 atau 8×8. Jenis trak yang digunakan adalah berbeza mengikut negara-negara yang memiliki sistem ini.

Sebagai contoh, Thailand menggunakan trak 6×6 Sherpa. Perancis pula dilaporkan memesan sebanyak 32 buah CAESAR yang dipasang pada trak Tatra 8×8 bagi menggantikan sistem artileri Auf1.

Sistem artileri bergerak CAESAR dilengkapi dengan sistem bidikan digital bagi mempercepatkan proses serangan terhadap sasaran.

Spesifikasi CAESAR

Berat CAESAR adalah diantara  17.7 tan (6×6) atau 28 ke 30 tan (8×8). Dimensi CAESAR yang dipasang trak 6×6 adalah 10 meter panjang, 2.55m lebar dan setinggi 3.7m. CAESAR pada trak 8×8 pula adalah mempunyai panjang 12.3 m, 2.8 m lebar dan setinggi 3.1m. Kenderaan tempur ini boleh dikendalikan seramai 5 ke 6 orang kru pada satu-satu masa. Namun, ianya boleh dikendalikan oleh 3 orang kru sekiranya keadaan mendesak.

CAESAR mampu untuk mencapai kelajuan 100 kilometer sejam di kawasan jalan raya dan 50 km/j di kawasan luar jalan raya (off road). Sistem artileri ini lazimnya membawa 18 butir peluru meriam. Namun penggunaan trak 8×8 mengandakan jumlah peluru meriam yang dibawa kepada 36 butir.

Kadar tembakan bagi CAESAR adalah 6 butir seminit. Keupayaan ini dicapai dengan penggunaan sistem pengisian peluru meriam secara automatik. Sesuai dengan peranannya sebagai sistem artileri bergerak yang memerlukan mobiliti tinggi, masa persiapan CAESAR untuk melaksanakan tembakan atau keluar dari kawasan operasi adalah kurang daripada seminit.

Kenderaan ini berupaya untuk dibawa oleh pesawat C-130 dan Airbus A400M.

CAESAR mampu untuk melepaskan sebanyak 6 das tembakan artileri dalam masa 1 minit.

Pengoperasian CAESAR

Dirantau Asia Tenggara, CAESAR dioperasikan oleh Indonesia dan Thailand. Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Darat telah melakukan perolehan sebanyak 36 CAESAR pada tahun 2021. Jumlah ini kemudiannya bertambah apabila Jakarta melakukan perolehan tambahan 18 buah kenderaan tempur ini. Difahamkan lebih 50 buah CAESAR telah dipasang di PT Pindad, Indonesia.

Thailand mengoperasikan sebanyak 6 buah CAESAR semenjak 2010. Arab Saudi, Lubnan, Denmark dan Maghribi merupakan antara negara-negara pengguna sistem artileri CAESAR. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply